Yunus beri jaminan hak semua warga Bangladesh dilindungi, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas pelantikan pemimpin sementara Bangladesh Muhammad Yunus.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau gembira dengan jaminan pemimpin sementara Bangladesh yang baru dilantik, Muhammad Yunus, bahawa hak semua warga Bangladesh akan dilindungi oleh kerajaan baharu.

Dalam catatan Facebook hari ini, Anwar berkata beliau telah menelefon Yunus semalam untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya baru-baru ini dan pemimpin sementara itu telah memberinya jaminan untuk melindungi minoriti.

“Saya gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti,” katanya. 

Katanya, beliau memberitahu Yunus bahawa Malaysia bersedia membantu dan menyokong kerajaan sementara dalam membina semula dan memulihkan keamanan dan keselamatan di Bangladesh.

Anwar berkata Yunus telah menjemputnya melawat Bangladesh bagi mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

Khamis lalu, pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu mengangkat sumpah jawatan selepas pemberontakan maut yang dipimpin oleh pelajar menamatkan pemerintahan 15 tahun Sheikh Hasina.

Berikutan keganasan yang membawa kepada kejatuhan kerajaannya, Sheikh Hasina mencari perlindungan di India.

Jaminan Yunus kepada Anwar mengenai minoriti datang dengan latar belakang perniagaan dan rumah milik penganut Hindu diserang selepas kejatuhan kerajaan.

Kegagalan Anwar untuk mengutuk secara terbuka keganasan terhadap minoriti telah membawa kepada kritikan daripada bekas pemimpin DAP P Ramasamy dan bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago, yang beralasan beliau harus berbuat lebih banyak sambil menyamai sokongan padunya kepada rakyat Palestin. – 14 Ogos, 2024.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen