Hampir 500 kompaun kenderaan monopoli petak parkir KL dalam 5 bulan


Ravin Palanisamy

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan hampir 500 notis kompaun dari Januari hingga Mei tahun ini kepada pemilik kenderaan, termasuk penjual trak makanan, kerana memonopoli tempat letak kenderaan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2024.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan hampir 500 notis kompaun dari Januari hingga Mei tahun ini terhadap kenderaan yang memonopoli tempat letak kenderaan awam, termasuk trak makanan.

Dewan Bandaraya berkata ia terus memantau keadaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang ingkar ini.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, DBKL berkata ia telah mengeluarkan hampir 1,000 kompaun sejak awal tahun lepas kepada pesalah.

“DBKL mengeluarkan sebanyak 464 notis kompaun bagi tahun 2023 dan sebanyak 484 notis kompaun dari Januari hingga Mei 2024.

“Notis ini meliputi semua jenis kenderaan dan bukan hanya tertumpu kepada trak makanan.

“Sementara itu, jumlah kenderaan yang ditunda ialah sebanyak 5,178 bagi tahun 2023 dan sebanyak 2,230 bagi tempoh Januari hingga Mei 2024,” kata DBKL.

Dewan Bandaraya menambah, pihaknya akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan terhadap mana-mana kenderaan yang didapati menghalang dan menyalahgunakan kawasan parkir di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengusaha trak makanan yang sengaja menggunakan tempat letak kenderaan awam sebagai lokasi perniagaan mereka akan dikenakan kompaun.

“Kenderaan itu akan dialihkan atau ditarik sekiranya pemilik masih enggan mengeluarkan trak makanan dari tempat letak kereta,” kata DBKL.

DBKL menjawab pertanyaan The Malaysian Insight berhubung pengusaha trak makanan yang terus memonopoli tempat letak kenderaan awam di pusat bandar.

Dalam laporan sebelum ini, pengusaha trak makanan berkata mereka tidak boleh dipersalahkan semata-mata atas situasi itu, dan berharap pertemuan dengan Datuk Bandar KL untuk mencari penyelesaian.

Semakan The Malaysian Insight baru-baru ini mendapati beberapa pengusaha trak makanan terus meletakkan kenderaan mereka secara kekal di kawasan tersebut.

Penduduk dan pihak berkepentingan lain telah menimbulkan kebimbangan mengenai perkara itu.

Unit komunikasi korporat DBKL berkata tiada kebenaran diberikan kepada pengusaha trak makanan ini untuk menggunakan tempat letak kereta.

Ia berkata kenderaan boleh ditunda kerana melanggar peraturannya.

DBKL juga berkata semua trak makanan dan kenderaan yang ditarik, dikeluarkan atau dirampas akan disimpan di depoh simpanan kenderaan di Jalan Tun Razak dan Jalan Lombong di Jalan Cheras.– 1 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen