Kerja tebatan banjir di 20 kawasan utama siap, kata DBKL


Noel Achariam

JABATAN Komunikasi Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya sudah menyiapkan kerja-kerja tebatan banjir di 20 kawasan utama terjejas di ibu negara menjelang musim tengkujuh.

DBKL berkata ia juga menjalankan projek pengurangan banjir jangka panjang utama di lima kawasan khas lain di sekitar bandar raya ini.

“Kerja penyelenggaraan takungan banjir, sungai, dan parit utama dipergiatkan terutama menjelang musim tengkujuh.

“DBKL merancang dan melaksanakan pelbagai usaha untuk menangani banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur,” kata jabatan itu kepada The Malaysian Insight.

Kawasan yang sering dilanda banjir adalah di Segambut, Lembah Pantai, Bukit Bintang, Cheras, Batu dan Setiawangsa.

Minggu lalu, penduduk Kuala Lumpur berkata mereka ingin mengetahui rancangan pihak berkuasa bagi menangani kemungkinan banjir kilat semasa musim tengkujuh.

Mereka berkata penting rancangan tebatan banjir DBKL didedahkan kepada umum bagi ketenangan fikiran semua orang.

Pengerusi Save Kuala Lumpur M Ali berkata DBKL masih belum cukup proaktif dalam menangani perkara ini sehingga menyebabkan warga kota bimbang.

Pada Disember, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata DBKL sudah mengenal pasti 25 kawasan utama banjir kilat di ibu negara.

Beliau memberitahu DBKL supaya mengutamakan projek tebatan banjir dan penyelenggaraan sistem perparitan.

Nga berkata banjir kilat adalah masalah kronik yang menjejaskan imej Kuala Lumpur.

Pada Januari, bekas datuk bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata RM67.8 juta diperuntukkan untuk kerja tebatan banjir, dengan RM39.4 juta adalah untuk penyelenggaraan tebing sungai, rumah pam dan saliran.

RM28.4 juta lagi diperuntukkan untuk DBKL menaik taraf longkang dan kolam tampung sedia ada, serta menempatkan beg pasir di kawasan banjir.

DBKL juga memohon tambahan RM500 juta daripada kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak projek tebatan banjir.

Majlis bandaraya itu berkata satu jawatankuasa khas melibatkan pelbagai jabatan sudah ditubuhkan bagi menangani isu banjir.

“Lokasi yang kerap berlaku banjir kilat atau limpahan sungai akan diberi perhatian lebih dan sistem perparitan sedia ada dinaik taraf.

“DBKL juga sentiasa menyelaraskan tindakan bersama dengan agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur.”

DBKL juga menggunakan televisyen litar tertutup yang terletak di sekitar bandar raya untuk memantau keadaan dan arahan untuk sebarang tindakan akan dikeluarkan dari pusat kawalan terus kepada anggota di lapangan.

“Ini bagi memastikan kepantasan tindak balas.

“Koordinasi kawalan lalu lintas dan bantuan awal di tempat kejadian amat penting apabila berlaku banjir kilat. Ia boleh mengurangkan kesan kesesakan lalu lintas pada masa kritikal,” kata jabatan itu.

DBKL menambah, kerja mengorek pengorekan kelodak dijalankan di semua takungan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ada juga longkang tepi jalan yang dinaik taraf.

“Selain itu, DBKL bersedia dengan pam dan lori tangki bagi memastikan limpahan air berlebihan di lokasi banjir kilat tidak bertakung di jalan raya.”

Bagi pengurusan air hujan di tapak pembinaan, DBKL menggesa pemaju memastikan perangkap kelodak di tapak pembinaan diselenggara dengan baik bagi mengoptimumkan fungsinya semasa hujan lebat.

Musim tengkujuh dijangka bermula pada November dan berterusan sehingga Mac.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ibu negara mengalami beberapa siri banjir teruk yang dikatakan oleh pakar sebagai akibat pembangunan yang berlebihan, penebangan hutan dan perubahan iklim.

Pada Disember 2021, Kuala Lumpur, Shah Alam, dan Klang menyaksikan banjir besar yang mengorbankan 27 orang dan menyebabkan ribuan terjejas teruk. – 30 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen