Pearly-Thinaah mara ke suku akhir Olimpik


Pasangan beregu badminton wanita negara negara Pearly Tan - M. Thinaah meraih kemenangan apabila menewaskan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia. – Gambar Facebook Akademi Badminton Malaysia, 30 Julai, 2024.

PASANGAN beregu badminton wanita negara negara Pearly Tan - M. Thinaah meraih kemenangan apabila menewaskan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia sekali gus berjaya melangkah ke suku akhir Olimpik Paris hari ini.

Pasangan Malaysia yang berada di tangga ke-13 dunia ini menewaskan pasukan lawan dengan mata 21-18, 21-9 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung selama 45 minit di Arena Porte De La Chapelle, Paris.

Dengan kemenangan ini Tan dan Thinaah menamatkan saingan di tempat kedua dalam kumpulan, di belakang pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan.

Thinaah berkata kemenangan tersebut adalah satu kelegaan besar terutama selepas melalui tempoh yang penuh tekanan dalam 24 jam yang lalu.

Dengan kejayaan ini, pasangan nombor 13 dunia itu mengatasi pasangan bekas juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan yang paling sukar dalam pertandingan ini.

Pasangan ini sebelum ini kalah 16-21, 15-21 kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan.

Thinaah mengakui dia dan Pearly belum pernah berdepan perlawanan tegang seperti itu.

“Seperti yang kami tahu keputusan dari perlawanan sebelumnya membawa tahap tekanan ini ke gelanggang adalah satu perasaan yang berbeza dari apa yang pernah kami alami.

“Ia memberi kami satu perasaan baru dan pengalaman yang sepenuhnya berbeza untuk kami berdua,” tambah Thinaah.

Pearly mengucapkan terima kasih kepada Thinaah kerana membantunya kekal tenang sepanjang perlawanan.

Pearly-Thinaah adalah pasangan beregu wanita Malaysia kedua yang berjaya melangkah ke suku akhir Olimpik selepas Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Mereka akan bertemu dengan salah satu pasangan pemenang kumpulan dalam suku akhir selepas undian baru dilakukan selepas semua perlawanan kumpulan selesai pada Selasa nanti. – 30 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen