Hall of Fame: Chong Wei layak, kata BWF


Pada 26 Mei lalu, Chong Wei dan Lin Dan dimasyhurkan dalam Badminton Hall of Fame BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka. – Gambar Facebook BWF, 4 Jun, 2023.

PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) mengesahkan keputusannya untuk meletakkan Lee Chong Wei dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) selepas keputusan itu dipertikai oleh bekas pemain Indonesia.

Pemenang pingat emas Olimpik Athens Taufik Hidayat mempersoalkan rasional badan dunia badminton itu melantik Chong Wei.

Rakyat Indonesia itu yang juga pemenang Kejohanan Dunia 2005 dan Sukan Asia 2002 dan 2006 membidas Chong Wei dalam temu bual televisyen baru-baru ini berkata bekas pemain nombor satu Malaysia itu tidak pernah memenangi sebarang trofi utama sepanjang kariernya.

Hari ini BWF mengulangi pendirian Chong Wei dan Lin Dan adalah penerima yang layak atas sumbangan cemerlang mereka dalam sukan itu.

“Atas cadangan Suruhanjaya Anugerah BWF, Majlis mengesahkan pencalonan Lin Dan dan Lee Chong Wei untuk Dewan Kemasyhuran mengikut kriteria pemilihan yang digariskan dalam peraturan anugerah tersebut.

“Kedua-duanya adalah penerima anugerah yang layak atas sumbangan cemerlang mereka dalam sukan badminton di luar batas gelanggang dalam tempoh masa yang signifikan.

“BWF mengiktiraf pencapaian dan sumbangan ramai legenda sukan badminton dan berharap untuk melantik lebih ramai juara ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF pada tahun-tahun akan datang,” ia dipetik sebagai berkata dalam laporan New Straits Time hari ini sebagai respons kepada kritikan terhadap Chong Wei.

Awal hari ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata BWF mempunyai sebab yang kukuh sebelum mereka memutuskan untuk memberi pengiktirafan kepada lagenda badminton negara itu.

Katanya, pengiktirafan kepada Chong Wei dalam Hall of Fame itu juga berdasarkan data dan statistik oleh BWF.

“Saya ada di sana semasa beliau (Chong Wei) dan Lin Dan menerima anugerah dan pengiktirafan itu…kalau kita lihat data serta statistik saya percaya BWF mempunyai sebab yang kukuh sebelum mereka memberi pengiktirafan itu.

“Kita juga bangga dengan pencapaian Lee Chong Wei,” katanya kepada pemberita selepas Flag-Off Separuh Maraton Balik Pulau 2023 di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.

Pada 26 Mei lepas, Chong Wei, 41 dan Lin Dan dimasyhurkan dalam Hall of Fame BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton kerana muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka.

Penguasaan Chong Wei dalam arena badminton menyaksikan beliau meraih 47 gelaran Siri Super atau Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan atlet badminton paling berjaya Malaysia dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, serta tiga gelaran naib juara Kejohanan Dunia pada 2011, 2013 dan 2015. – 4 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen