GURU yang mempunyai masalah disiplin tidak akan layak untuk dinaikkan gred secara automatik atau ‘time-based’, kata Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata kenaikan gred sebegini tidak sepatutnya diberikan kepada guru yang tidak berprestasi.
“Walaupun saya bersetuju dengan prinsip kenaikan gred secara automatik atau ‘time-based’, ia tidak akan dikenakan jika disiplin anda lemah dan tidak menghadiri kelas.
“Saya sendiri akan membatalkan kenaikan gred secara automatik atau ‘time-based’ anda,” katanya pada majlis sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di Bangi hari ini.
Sementara itu Anwar berkata walaupun kerajaan mempunyai hutang sebanyak RM1.5 trillion ia akan menunaikan komitmennya untuk menaikkan gaji penjawat awam pada Disember ini.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mencari cara untuk memastikan kenaikan gaji tersebut.
“Ada yang berkata Anwar tidak bersikap praktikal dan hanya mahu popular, mengatakan bahawa kita tiada wang, tetapi mahu menaikkan gaji. Ada juga yang berkata ia tidak mungkin berlaku.
“Tetapi JPA sedang berusaha keras untuk mencari cara menjadikannya realiti,” tambahnya. – 13 Julai, 2024.
Komen