SPRM buka kertas siasatan ke atas HRD Corp


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa individu untuk ditemu bual bagi membantu siasatan membabitkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pasukan penyiasat juga akan ke Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp Selasa ini untuk mendapatkan dokumen berkaitan.

“Kami telah menerima laporan audit yang dikemukakan oleh KSU (ketua setiausaha) KESUMA. Berdasarkan laporan audit, kami telah mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan bukti daripada pihak terbabit.

“Antaranya ialah isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian hartanah dan sebagainya. Satu pasukan khas telah dibentuk dan kertas siasatan telah dibuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Ketua Audit Negara pada Khamis menggesa KESUMA merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan selepas gagal mengauditnya.

Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata juruaudit mendapati salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.

Dalam Laporan Audit Negara terbaru, beliau menegaskan bahawa lebih RM50 juta geran latihan telah disalurkan kepada orang yang sama beberapa kali manakala juruaudit menganggap lebih 200 sebagai ‘mencurigakan’.

“Secara keseluruhannya, tadbir urus korporat HRD Corp adalah tidak memuaskan.

“Keputusan yang dibuat oleh pengurusan HRD Corp tidak mengikut prosedur dan tidak melindungi kepentingannya untuk mencapai objektifnya,” katanya dalam laporan itu.

Turut dilaporkan panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang besar kepada lembaga pengarahnya (BOD).

Ahmad Khusairi menambah, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009. – 6 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen