Kerajaan guna sistem pengurusan pekerja asing selama 6 tahun tanpa kontrak, kata PAC


Ravin Palanisamy

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2024.

PUTRAJAYA menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) - sistem holistik dan bersepadu yang membolehkan proses keseluruhan pengambilan pekerja asing selama lebih enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Vendor untuk sistem FWCMS ialah Bestinet Sdn Bhd, sebuah syarikat yang pernah dikaitkan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan sebarang penglibatan.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata walaupun terdapat Surat Setuju Terima (LOA) untuk pembangunan FWCMS yang dikeluarkan pada 12 Januari 2018, tiada kontrak yang dimuktamadkan ditandatangani antara kerajaan dan vendor.

“Ini bermakna kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan.

“Ini jelas melanggar peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAC mendapati FWCMS tidak termasuk dalam senarai projek yang mendapat kelulusan prinsip Kabinet untuk perkongsian awam-swasta dari 2009 hingga 2020.

“Selain itu didapati arahan dan pelaksanaan FWCMS tidak dibawa kepada Kabinet sebelum surat kelulusan dikeluarkan,” kata Mas Ermieyati.

Pada Ogos 2015 kerajaan Barisan Nasional meluluskan pembangunan FWCMS dan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia. Zahid Hamidi adalah Menteri Dalam Negeri pada masa itu.

“Ini mengakibatkan pertindihan fungsi antara agensi dan pembaziran dana awam,” katanya.

Mas Ermieyati berkata laporan PAC mengenai ePPAx dan FWCMS adalah berdasarkan empat sesi pendengaran.

Semasa pendengaran, wakil dari kedua-dua kementerian berkata pekerja migran boleh didaftarkan secara manual.

Mas Ermieyati berkata PAC mendapati FWCMS mempunyai 24 pengguna tanpa kebenaran yang meluluskan 24 permohonan majikan.

Beliau berkata perkara ini dilaporkan kepada pihak polis.

Mas Ermieyati berkata Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia perlu bekerjasama untuk menguruskan pekerja asing.

Minggu lepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kabinet bersetuju secara prinsip untuk melanjutkan kontrak Bestinet untuk menyediakan sistem IT bagi pengambilan pekerja asing kepada kerajaan.

Mas Ermieyati hari ini mendedahkan lanjutan tersebut adalah untuk tiga tahun.

Beliau berkata PAC akan terus menyiasat lanjutan kontrak ini. – 3 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen