Kerajaan perlu perjelas isu kuota matrikulasi, kata MCA


Presiden MCA Wee Ka Siong berkata masih ada cabaran bagaimana untuk menerima semua pelajar cemerlang tanpa mempengaruhi sistem kuota Bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2024.

PRESIDEN MCA Wee Ka Siong hari ini meminta kerajaan memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 10A ke atas akan diberi tempat tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

“Saya gembira membaca pengumuman itu tetapi selepas difikirkan lebih lanjut masih ada cabaran bagaimana untuk menerima semua pelajar cemerlang tanpa mempengaruhi sistem kuota Bumiputera.

“Setiap tahun, jumlah pelajar Cina yang mendapat 10A melebihi jumlah pelajar Cina yang diterima ke kelas pra-universiti.

“Jika dasar untuk menerima pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera tidak berubah, bagaimana semua pelajar yang mendapat 10A ini akan diterima secara automatik?” tanyanya.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan untuk memberikan peluang kemasukan ke matrikulasi kepada semua pelajar SPM yang berjaya tanpa mengira bangsa adalah untuk mengurangkan masalah ketegangan dalam sistem pendidikan.

Menurut laporan dari The Vibes Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan mereka akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan pelajar SPM cemerlang dengan 10A dan ke atas diberikan tempat tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

Menurut respons parlimen KPM pada 2019 Wee menekankan KPM sentiasa mengira kuota 10% untuk pelajar bukan Bumiputera berdasarkan penerimaan sebenar dan bukan kapasiti.

“Dengan kata lain jika pelajar Bumiputera tidak mengisi semua tempat dalam program matrikulasi, pelajar bukan Bumiputera tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah penerimaan pelajar.

“Berdasarkan data terkini jumlah pelajar Cina melebihi 1,000 menyumbang antara 5.5% hingga 6% daripada jumlah penerimaan keseluruhan manakala pelajar India menyumbang kira-kira 3.6%.

“Adakah Kerajaan merancang untuk mengira penerimaan berdasarkan kapasiti bukan jumlah sebenar pelajar bukan Bumiputera untuk menentukan kuota 10% itu?,” soal Wee.

Beliau berkata KPM dan KPT harus menjelaskan butiran keputusan ini untuk memastikan kejelasan antara apa yang diumumkan dengan apa yang dilaksanakan bagi mengelakkan perbezaan antara dasar dan amalan.

“Jika pengumuman perdana menteri dapat dilaksanakan sepenuhnya itu akan menjadi reformasi yang berjaya dan PMX patut dipuji kerana itu,” tambahnya. – 1 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen