Tiada perubahan kuota Bumiputera untuk matrikulasi, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan sistem kuota Bumiputera di bawah program matrikulasi Kementerian Pendidikan tidak akan diubah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2024.

SISTEM kuota Bumiputera di bawah program matrikulasi Kementerian Pendidikan tidak akan diubah, kata perdana menteri.

Anwar Ibrahim berkata ini berikutan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyimpan kuota untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Walaupun semalam diumumkan pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dijamin mendapat tempat dalam mana-mana program matrikulasi tanpa mengira kaum atau lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanannya bersama Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Jelas Anwar, keputusan membuka tempat matrikulasi kepada semua pelajar cemerlang SPM, tanpa mengira kaum, adalah untuk mengurangkan ketegangan dalam sistem pendidikan.

“Sistem kuota Bumiputera ada kalanya menimbulkan kontroversi, jadi Kabinet memutuskan untuk mengambil pendekatan seimbang. Jika mereka rakyat kita, kita patut mengambil berat terhadap mereka.

“Langkah ini sepatutnya meredakan ‘ketegangan’ yang dihadapi KPM hampir setiap tahun. Iklim politik yang panas sebegini kadangkala boleh menyebabkan ketegangan kaum dan sosial,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kuota Bumiputera perlu dikekalkan kerana ia telah lama dikaitkan dengan Perkara 153 dan menjamin masa depan orang Melayu dan Bumiputera, serta mengelakkan sebarang jurang perbezaan.

Anwar berkata butirannya akan didedahkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“Meritokrasi tidak seharusnya menjadi ideologi yang tegar. Jika ia berterusan, siapa yang akan mewakili golongan yang kurang bernasib baik?

“Sebagai kerajaan Madani, kita mesti berbelas kasihan. Mahukan negara ini maju bermakna kita mesti menjunjung bentuk meritokrasi yang terbaik, di mana mereka yang berkebolehan dan cerdas digalakkan.

“Tetapi pada masa sama, kita tidak boleh melupakan golongan miskin dan terpinggir,” tambahnya. – 1 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen