KENYATAAN Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bahawa tiada kematian dalam tahanan polis yang disebabkan oleh pihak berkuasa sejak beliau memegang jawatan mesti disokong dengan fakta, kata sebuah kumpulan hak asasi hari ini.
Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet) berkata, Saifuddin Nasution tidak seharusnya membuat kesimpulan awal bahawa polis tidak bertanggungjawab secara jenayah atas kematian dalam tahanan.
“Kami tidak mahu hanya mengetahui apa yang disimpulkan oleh polis, menteri atau pihak berkuasa penahanan berkaitan kematian dalam tahanan.
“Kami mahu mengetahui apa yang diputuskan oleh koroner selepas inkues mengenai punca kematian dan sama ada sesiapa bertanggungjawab secara jenayah atas kematian itu. Malah koroner pun boleh tersilap,” kata wakil Madpet, Charles Hector dalam satu kenyataan.
Peguam merangkap aktivis Charles Hector merujuk kepada ucapan Saifuddin Nasution di Parlimen semalam di mana beliau berkata semua kematian yang direkodkan di penjara, lokap polis dan depoh Jabatan Imigresen sejak tahun 2022 berkaitan dengan isu kesihatan.
Menteri tersebut berkata terdapat 24 kematian yang direkodkan di lokap polis antara 2022 hingga Mei tahun ini manakala 40 banduan meninggal dunia di penjara.
“Kematian di lokap polis adalah disebabkan oleh isu kesihatan seperti Covid-19, tuberkulosis, serangan jantung dan pneumonia. Tiada kes bunuh diri atau kematian akibat kecederaan yang disebabkan oleh polis.
“Kematian ini melibatkan pelbagai masalah kesihatan. Kebanyakan kes melibatkan penagih dadah yang ditahan di lokap,” kata Saifuddin dalam ucapan penggulungan beliau mengenai laporan tahunan Suhakam.
Namun Hector berkata Madpet “terkejut dengan keberanian” Saifuddin untuk membuat kenyataan sedemikian sambil bertanya sama ada semua siasatan koroner mengenai kematian dalam tahanan sudah selesai.
“Hal ini menimbulkan persoalan sama ada beliau bergantung kepada siasatan polis atau pihak berkuasa penahanan, padahal sekurang-kurangnya beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas koroner mengumumkan penemuan beliau.
“Polis mungkin tidak memukul atau menyiksa tahanan hingga mati, tetapi mereka masih boleh dianggap bertanggungjawab secara jenayah atas kematian tersebut.
“Kegagalan untuk memantau orang yang ditahan dan kegagalan untuk memastikan penjagaan kesihatan orang yang ditahan menjadikan pegawai polis bertanggungjawab secara jenayah atas kematian seorang tahanan,” katanya.
Hector juga menyeru kerajaan untuk melantik koroner sepenuh masa untuk mengendalikan kes-kes sedemikian kerana Ketika ini majistret terpaksa melakukan tugas sebagai koroner apabila mereka mempunyai urusan mahkamah sendiri untuk diuruskan.
“Idea untuk menubuhkan Jabatan Koroner harus dipertimbangkan dan mungkin sebuah Mahkamah Koroner. Satu undang-undang baru mungkin perlu dilaksanakan untuk perkara ini,” katanya. – 2 Julai, 2024.
Komen