Lesen syarikat pelancongan kendali bas nahas di Genting digantung, kata menteri


Tiong King Sing berkata lesen operasi syarikat pelancongan yang dikaitkan dengan nahas bas yang menyebabkan dua warga China maut pada Sabtu digantung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2024.

LESEN operasi syarikat pelancongan yang dikaitkan dengan nahas bas menyebabkan dua warga China maut di KM 16.5 Jalan Genting-Bentong pada Sabtu digantung, kata Tiong King Sing.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata penggantungan itu dibuat sementara menunggu hasil siasatan ke atas kemalangan itu oleh pihak berkuasa.

“Saya juga mengarahkan kementerian untuk menyiasat syarikat pelancongan itu kerana difahamkan mereka mempunyai subline.

“Saya juga menerima aduan daripada penumpang bahawa bas itu bising dan penyaman udara tidak berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kemalangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tiong berkata beliau juga diberitahu penumpang datang ke Malaysia untuk perjalanan enam hari dan terpaksa menukar bas sebanyak tiga kali menunjukkan ia tidak diselenggara dengan baik.

Lapan mangsa masih dirawat di HKL dan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata pemandu bas berusia 32 tahun itu ditahan malam tadi selama empat hari.

Semalam Zaiham berkata pemandu bas itu tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai 27 saman trafik dalam rekodnya.

Dua warga China maut dan beberapa lagi cedera selepas bas persiaran itu terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Tiong berkata satu mesyuarat khas antara kementeriannya dan Kementerian Pengangkutan akan diadakan pada Selasa untuk membincangkan kemalangan itu.

Beliau berkata kedua-dua kementerian juga akan membincangkan prosedur operasi standard berkaitan syarikat pelancongan dan bas yang berada di bawah Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan. – 30 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen