Tindakan kementerian perkenal garis panduan kebersihan disambut baik, kata persatuan


Angie Tan

Tahap kebersihan dan kualiti perkhidmatan yang baik di kawasan pelancongan akan meningkatkan imej dan taraf industri pelancongan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2023.

PERSATUAN pelancongan menyambut baik tindakan Kementerian Pelancongan untuk menyeragam dan memperkenalkan garis panduan meliputi kualiti perkhidmatan, kebersihan dan keenakan masakan di lokasi pelancongan dalam negara mulai tahun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Perniagaan Malaysia Jarod Chia berkata mereka menyokong penuh langkah kementerian itu.

“Letakkan diri anda dalam diri pelancong. Apabila anda melancong ke luar negara, anda juga ingin melihat tempat yang anda pergi bersih,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini menyatakan kementerian kerap menerima aduan daripada pelancong yang tidak berpuas hati dengan tahap kebersihatan serta perkhidmatan yang tidak berkualiti di hotel, pusat beli-belah dan restoran.

Sambil merujuk kepada tandas awam yang sangat bersih di Jepun, Chia berkata itu adalah salah satu sebab mengapa ramai pelancong lebih suka melawat negara itu.

“Pelancong tidak perlu risau akan masalah keracunan makanan sekiranya pergi ke negara yang mempunyai tahap kebersihan yang baik.

“Kebersihan perlu diletakkan dalam senarai keutamaan pelancongan di Malaysia,” katanya.

Beliau bagaimanapun kesal apabila daripada senarai 2,700 hotel ahli persatuan itu, ada yang belum mencapai tahap kebersihan diperlukan untuk tandas dan bilik mandi awam mereka.

Ahli persatuan itu terdiri daripada hotel butik, hotel perniagaan, hotel bajet, hotel bertaraf bintang, hotel bandar, hotel peranginan dan inap desa.

“Kami sentiasa menggesa ahli ini untuk menaik taraf kemudahan mereka, bukan sahaja bilik air dan tandas mereka,” kata Chia.

Chia yang juga pengerusi MyBHA bahagian Johor bagaimanapun berkata untuk meningkatkan taraf kebersihan ia memerlukan bantuan ramai, pelbagai jabatan kerajaan, komuniti perniagaan dan orang awam.

“Bukan sahaja restoran, pusat membeli-belah dan tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong. Pasar raya, kedai kopi dan tempat awam lain yang tidak begitu kerap dikunjungi oleh pelancong juga harus berada dalam keadaan yang terbaik,” katanya.

Chia berkata tanggungjawab untuk memastikan tempat makan bersih dan selamat bukan tanggungjawab kementerian pelancongan semata-mata.

Tambahnya mendidik rakyat Malaysia tentang kebersihan diri dan tahap yang boleh diterima umum harus bermula di sekolah.

“Ini sepatutnya menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

“Saya suka membaca komen di media sosial yang disiarkan oleh pelancong asing. Mereka suka budaya kita, makanan dan tarikan kita, tetapi apabila bercakap mengenai tahap kebersihan kita, mereka sentiasa mengatakan ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Bahagian Pulau Pinang Tony Goh berkata beliau mengalu-alukan tindakan Kementerian Pelancongan itu.

“Ia akan meningkatkan imej dan taraf industri pelancongan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata matlamat itu hanya boleh dicapai jika semua orang berusaha ke arah standard yang diperlukan. – 15 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen