PENGGIAT industri pelancongan khususnya pengusaha hotel dan inap desa digesa supaya memohon dana yang diperlukan melalui pinjaman Skim Infrastruktur Pelancongan (SIP) bagi membangun dan mengembangkan produk mereka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata pinjaman yang disediakan itu bertujuan membantu syarikat mengembangkan produk seperti premis penginapan pelancongan, kemudahan dan projek lain berkaitan pelancongan.
Beliau berkata ia sekali gus dapat meningkatkan serta menambah baik infrastruktur hotel dan inap desa, seterusnya memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung atau pelancong.
“Ketika ini, pegawai yang bertanggungjawab sudah dan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyemak serta mempertimbangkan setiap permohonan bagi membantu pemain industri mendapatkan bantuan serta sumber yang sepadan dalam proses pemulihan sektor pelancongan.
“Tidak kira sama ada permohonan itu membabitkan hotel lima bintang atau hotel bajet, saya akan pastikan SIP ini dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pinjaman itu disediakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad.
Tiong berkata ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19, pengusaha hotel turut memainkan peranan dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat kuarantin dan dengan adanya SIP, ia membolehkan mereka mengubahsuai premis mengikut keadaan semasa dalam memenuhi permintaan pelanggan.
“Mungkin beberapa hotel dan perusahaan kecil tidak berani mengambil risiko dengan berbelanja besar bagi tujuan pengubahsuaian premis perniagaan masing-masing susulan ketidaktentuan ekonomi semasa. Namun saya yakin, dengan pinjaman kadar faedah rendah yang ditawarkan SIP ini, ia dapat memberi nafas lega buat mereka,” katanya.
Beliau turut menyeru pemain industri pelancongan bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan sentiasa mendengar aduan pengunjung serta berusaha menambah baik mutu perkhidmatan ditawarkan.
Katanya, seruan itu adalah susulan terdapat aduan daripada pelancong asing yang mendakwa perkhidmatan yang ditawarkan segelintir pengusaha tidak menepati piawaian ditetapkan termasuk dalam soal berkaitan kelestarian alam sekitar.
“Terdapat juga beberapa fasiliti yang disediakan dalam keadaan uzur dan tidak selamat digunakan. Saya sekali lagi menggesa pemain industri pelancongan melihat semula keperluan penting masing-masing demi menarik minat pengunjung.
“Lebih-lebih lagi ketika ini Malaysia sedang dan akan menerima lebih ramai pelancong asing terutama dari negara Asia seperti China yang memberi sumbangan ekonomi lebih besar kepada negara kita,” katanya. – Bernama, 2 September, 2023.
Komen