Sultan Selangor belum perkenan permintaan Presiden FAM, kata laporan


Sultan Sharafuddin semalam menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita terhadap tindakan MFL dan kurangnya keprihatinan serius daripada Hamidin. – Gambar Selangor Royal Palace, 28 Jun, 2024.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah belum berkenan untuk terima menghadap Presiden FAM Hamidin Amin, lapor Harian Metro.

Memetik sumber akhbar harian berbahasa Melayu itu melaporkan permintaan Hamidin belum mendapat perkenan Sultan Sharafuddin.

“Betul, permohonan Hamidin untuk menghadap Sultan Selangor belum mendapat perkenan,” kata sumber tersebut.

Permintaan daripada Hamidin dibuat sebagai respons kepada kontroversi terbaru yang melibatkan Selangor FC.

Sultan Sharafuddin yang juga penaung Selangor FC semalam menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita terhadap tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kurangnya keprihatinan serius daripada Hamidin.

Sultan Sharafuddin, bekas presiden FA Selangor1 tidak berpuas hati dengan hukuman yang dianggap berlebihan oleh MFL terhadap Selangor FC kerana menarik diri dari perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Mei.

Sebagai respons kepada ketidakpuasan Sultan Sharafuddin, MFL mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada 24 Jun 2024 ke atas Selangor FC dengan mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000, menarik balik pemotongan tiga mata dan membenarkan penyokong menghadiri perlawanan Selangor-JDT di Stadium MBPJ pada November.

Bagaimanapun perbelanjaan yang ditanggung oleh MFL dan JDT untuk Piala Sumbangsih masih dalam kajian. – 28 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen