AHLI politik perlu berhenti menyalahgunakan isu 3R kaum, agama dan raja untuk kepentingan politik mereka sendiri, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam temu bual dengan Sunday Star baginda bertitah isu-isu ini boleh memusnahkan keamanan dan keharmonian negara.
“Mengenai isu 3R khususnya agama dan bangsa, jika kedua-dua perkara ini berkait, ia amat bahaya.
“Ia akan menimbulkan syak wasangka, dan orang ramai tidak akan serasi.
“Kita adalah satu dan ia tidak akan baik untuk negara,” baginda dipetik sebagai berkata.
Baginda secara khusus menyasarkan ahli politik, bertitah bahawa mereka harus dididik mengenai sejarah dan kontrak sosial negara sebelum bertanding sebagai calon.
“Saya rasa ahli politik juga harus memahami sepenuhnya sejarah dan kontrak sosial kita sebelum menjadi calon.
“Mereka perlu mengikuti kelas untuk memahami undang-undang kita dan Rukun Negara serta kontrak sosial, dan barulah boleh berfungsi sebagai wakil rakyat yang berkesan,” titah Sultan Sharafuddin.
Baginda turut menasihatkan ahli politik supaya menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum bertanding dalam pilihan raya.
“Mereka juga mesti menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dicalonkan, kerana terdapat kes kematian sejurus selepas pilihan raya umum dan banyak wang dibazirkan untuk pilihan raya kecil,” titahnya. – 10 Disember, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen