MENTERI besar penjaga Kedah Muhammad Sanusi Md Noor mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan hasutan di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini.
Bagi tuduhan pertama di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin, Sanusi dituduh membuat kenyataan hasutan ke atas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tuduhan itu berkait ucapannya mengenai pelantikan menteri besar Selangor dalam satu ucapan di Simpang Empat, Taman Selayang Mutiara di Gombak pada 11 Julai.
Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.
Sanusi yang diwakili peguam Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 4 Oktober bagi sebutan kes ini.
Pendakwaan dikendalikan Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Bagi tuduhan kedua, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu dituduh membuat kenyataan hasutan berkait pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Sanusi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Bagi pertuduhan itu, Sanusi turut dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan penjamin berbeza.
Sanusi dalam ucapan pada 11 Julai itu antara lain menyebut Sultan Selangor memilih menteri besar yang “cokia”.
Ekoran itu, puluhan laporan polis dibuat ke atas penyandang kerusi DUN Jenteri itu, yang seterusnya memohon ampun dengan menulis surat kepada Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin bagaimanapun semalam menitahkan perkara itu belum selesai.
Sanusi seterusnya ditahan polis pada dinihari di Lembah Kelang.
Satu video yang dimuatkan setiausaha politiknya Helmi Khalid di Facebook menunjukkan Sanusi dikutip di sebuah hotel pada kira-kira jam 2.30 pagi. – 18 Julai 2023.
Komen