GERAKAN boikot, terutamanya melibatkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang didakwa mempunyai hubungan dengan Israel, kurang memberi kesan langsung kepada ekonomi, tetapi sedikit menjejaskan sektor pekerjaan menurut Kementerian Ekonomi.
Dalam jawapan bertulis, kementerian berkata ini kerana sumbangan subsektor F&B kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah kecil, iaitu 2.3% pada 2023 dan 2.4% pada suku pertama 2024.
Ia menyatakan bahawa pengguna beralih kepada produk perniagaan berjenama tempatan menyamakan impak dan juga meningkatkan lagi aktiviti ekonomi domestik.
“Walaupun gerakan boikot masih diteruskan, Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, iaitu 4.2% pada suku pertama 2024, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan,” kata kementerian itu secara bertulis.
Bagaimanapun, kementerian berkata terdapat peningkatan dalam jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan berdasarkan data yang disediakan oleh Laporan Sistem Insurans Pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ia berkata, bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, seramai 22,315 pekerja kehilangan pekerjaan berbanding 18,026 bagi tempoh sama pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 23.8%.
Daripada jumlah ini, 1,091 pekerja atau 4.9% adalah pekerja di sektor aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan.
Kementerian itu berkata sejumlah 583 pekerja atau 50.7% daripada kehilangan pekerjaan yang dilaporkan adalah disebabkan penutupan perniagaan dan pengecilan saiz.
“Data kehilangan pekerjaan ini secara umum dan tidak condong kepada sektor makanan dan minuman sahaja,” katanya. – 26 Jun, 2024.
Komen