Ekonomi suku ketiga Malaysia dianggar berkembang 3.3%


EKONOMI Malaysia dijangka berkembang sederhana pada kadar 3.3% berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2023, berbanding 2.9%pada suku kedua 2023, menurut Kementerian Ekonomi.

Dalam kenyataan pada Jumaat, kementerian itu menjelaskan anggaran prestasi mengikut sektor menunjukkan pertumbuhan disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan dengan aktiviti pelancongan memperlihatkan pemulihan selain kemajuan pelaburan dan pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) dan MyDIGITAL 5G.

“Anggaran awal KDNK menunjukkan kesan permintaan global yang lemah dalam tempoh tersebut, terutama eksport pembuatan, khususnya dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) dan segmen berkaitan industri primer,” tambahnya.

Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang pada kadar 4.0% bagi 2023 berdasarkan prestasi semasa ekonomi dunia dan pencapaian separuh pertama tahun ini. 

Anggaran yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 telah mengambil kira jangkaan pertumbuhan suku ketiga 2023 yang dalam lingkungan anggaran pertumbuhan ini, jelasnya.

Bagi 2024 pula, ekonomi negara dijangka mencatatkan pertumbuhan di antara 4.0% dengan 5.0%, disokong oleh persekitaran luar yang semakin pulih dan jangkaan permintaan domestik lebih baik. tambahnya.

Indikator awalan seperti jualan semikonduktor berdasarkan Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menunjukkan kitaran teknologi akan meningkat semula dan berpotensi memberi manfaat kepada eksport E&E Malaysia, menurutnya.

Kementerian menekankan bahawa selain itu, keadaan pasaran buruh dijangka stabil dengan tumpuan turut diberi untuk meningkatkan aktiviti pelaburan melalui pelaksanaan berterusan projek infrastruktur serta strategi dan inisiatif mengikut dasar utama kerajaan.

“Dalam hubungan ini, kerajaan akan terus memastikan ekonomi negara berkembang dan kesejahteraan rakyat akan terus diberi keutamaan dengan pelaksanaan strategi yang diumumkan menerusi Belanjawan 2024, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara bagi mengembangkan saiz dan mengembalikan ekonomi ke landasan yang sebenarnya,” menurut Kementerian Ekonomi.

Ekonomi akan distrukturkan semula bagi mempercepat peralihan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, menurutnya. 

Kementerian itu memaklumkan bahawa pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam KSP RMK12 adalah melaksanakan 17 Anjakan Besar, termasuk industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) peralihan tenaga, teknologi dan digital, E&E bernilai tinggi, pertanian dan asas tani serta nadir bumi. 

Selain itu, Anjakan Besar juga dilaksanakan untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perusahaan sosial, memperkukuh jaringan pengangkutan awam dan memastikan ketersediaan bakat masa hadapan, jelasnya.

“Tumpuan akan turut diberi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dalam industri berasaskan teknologi bagi merangsang pertumbuhan sektor dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” kata kementerian itu.  – Bernama, 20 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen