RMK12: Potensi ekonomi wilayah, negeri diperkukuh, tarik pelaburan berkualiti


Agensi pembangunan wilayah pada peringkat persekutuan dan negeri akan digalakkan untuk menyelaras keutamaan pembangunan dengan memanfaatkan kekuatan, keunikan dan ketersediaan sumber di setiap wilayah menurut laporan KSP RMK12 (2021-2025) dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2023.

POTENSI ekonomi wilayah dan negeri akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dalam bidang khusus dengan menggalakkan penerimagunaan teknologi termaju dalam aktiviti huluan dan hiliran.

Berikutan itu, menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, agensi pembangunan wilayah pada peringkat persekutuan dan negeri akan digalakkan untuk menyelaras keutamaan pembangunan dengan memanfaatkan keunikan dan sumber yang ada di setiap negeri.

“Di samping itu, penyediaan infrastruktur asas di negeri kurang membangun akan dipertingkat dan program pembangunan bakat akan dipergiat bagi memastikan peluang pembangunan yang saksama dan menambah baik keseimbangan wilayah,” katanya.

Menurut laporan itu, keutamaan akan diberi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dalam subserantau dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang lebih baik.

Langkah akan dilaksanakan untuk mempergiat pembangunan wilayah di kawasan pertumbuhan yang berpotensi dan memanfaatkan kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri, katanya.

“Dalam hubungan ini, tumpuan akan diberikan dalam mempercepat pembangunan strategik di kawasan pertumbuhan dan menarik pelaburan berkualiti untuk melonjakkan pertumbuhan wilayah dalam tempoh akhir RMK12,” katanya.

Selain itu, laporan itu menjelaskan ekosistem perniagaan akan terus ditambah baik untuk mempermudah urusan menjalankan perniagaan dan menarik pelaburan berkualiti.

Program pembangunan bakat pula akan dipergiat untuk mengekalkan tenaga mahir bagi mengelakkan migrasi dan langkah ini akan menggalakkan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan wilayah yang lebih seimbang.

Agensi pembangunan wilayah pada peringkat persekutuan dan negeri akan digalakkan untuk menyelaras keutamaan pembangunan dengan memanfaatkan kekuatan, keunikan dan ketersediaan sumber di setiap wilayah.

Usaha akan terus dilaksana untuk menggalakkan penggunaan teknologi termaju dalam aktiviti huluan dan hiliran, katanya.

Menurut laporan itu, pakej insentif juga akan ditambah baik bagi menarik pelaburan, khususnya di kawasan kurang membangun.

Selain itu, zon khas kewangan akan diwujudkan di Iskandar Malaysia bagi menarik pelabur asing dan pekerja berkemahiran untuk menetap di Malaysia, katanya.

Pihak berkuasa koridor akan terus memainkan peranan penting dalam mempercepat pelaburan di wilayah.

Berdasarkan wilayah pula, menjelang 2025, purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi wilayah utara disasarkan mencapai 6.0%, tengah (5.6%), selatan (5.4%), timur (6.1%), Sabah (4.3%) dan Sarawak (5.1%s), kata laporan itu. – Bernama, 11 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen