SUNGAI Bakap bakal mendapat hospital baharu bagi melengkapkan hospital berusia 130 tahun itu yang bergelut dengan kemudahan tidak mencukupi dan peningkatan jumlah pesakit.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad ketika melawat Sungai Bakap semalam berkata hospital baharu itu akan dibina bersebelahan dengan hospital lama.
Tambahnya, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang dalam proses memohon hak milik tanah.
“Kami kini dalam fasa mendapatkan pembiayaan. Membangunkan bangunan hospital baharu adalah penting memandangkan jumlah penduduk semakin meningkat di daerah Seberang Perai selatan,” katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.
“Kementerian sentiasa mengutamakan usaha untuk menangani isu kemudahan yang tidak mencukupi, ketidakpadanan sumber merentasi pelbagai peringkat perkhidmatan, dan pembiayaan penjagaan kesihatan yang tidak mampan,” tambahnya.
Menteri itu juga berkata hospital lama itu akan menjalani beberapa kerja baik pulih termasuk kuarters kakitangan yang akan ditukar menjadi Klinik Pergigian Sungai Bakap.
Kerja-kerja menaik taraf dijalankan sejak 26 Mac dan dijadualkan siap pada 26 Ogos.
Pada masa ini klinik pergigian beroperasi di tingkat dua hospital.
Beliau turut merasmikan Jabatan Kecemasan yang baru dinaik taraf di Hospital Sungai Bakap.
Beliau berkata, projek menaik taraf itu dilakukan bagi mengoptimumkan ruang yang sebelum ini diduduki Jabatan Pesakit Luar yang kini dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Bakap.
Wad saringan baharu juga ditambah ke Jabatan Kecemasan menggantikan wad lama yang dipasang di khemah sementara di luar.
Dr Dzulkefly seterusnya menolak dakwaan bahawa lawatannya ke hospital itu sebagai gimik pilihan raya memandangkan Sungai Bakap dijangka mengadakan pilihan raya kecil (PRK) pada 6 Julai. Semalam adalah hari penamaan calon.
“Rancangan melawat hospital itu dibuat setahun lalu sebelum tarikh PRK diumumkan. Kebetulan minggu ini saya berada di Pulau Pinang.
“Saya hanya menunaikan tanggungjawab sebagai menteri kesihatan. Tiada apa yang saya tawarkan kecuali melibatkan diri dengan pihak Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan Hospital Sungai Bakap,” katanya. – 23 Jun, 2024.
Komen