14 jemaah haji Malaysia meninggal dunia


ENAM lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan jumlah kematian setakat ini kepada 14, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata semua jemaah yang meninggal dunia sempat menunaikan ibadah wukuf dan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, radang paru-paru dan jangkitan darah.

“Pihak hospital Arab Saudi dan kakitangan TH telah membantu waris di sini dan memaklumkan kepada waris mereka di Malaysia.

“Bagi pihak pengurusan TH, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia di Makkah dan sama-sama kita mendoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan di Bernama malam tadi.

Pada masa sama, seramai 93 jemaah haji Malaysia sedang dirawat dengan 11 daripadanya ditempatkan di Hospital Arab Saudi termasuk dua dalam keadaan kritikal di Hospital King AbdulAziz, manakala 82 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.

Beliau berkata kebanyakan kes membabitkan masalah pernafasan seperti jangkitan paru-paru akibat cuaca panas dan kering.

Sementara itu, Mohd Na’im turut menyifatkan operasi haji tahun ini sebagai antara pengurusan dan kakitangan TH yang paling cemerlang dan tahniah yang berjaya memainkan peranan mereka dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji Malaysia. – 20 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen