SEORANG wanita warga emas dan cucu perempuannya berusia 12 tahun ditemui selamat pada 9.30 pagi tadi selepas mereka sesat ketika menuju ke kebun durian di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Baharu semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa ditemui kira-kira dua jam selepas operasi mencari dan menyelamat disambung semula hari ini, lapor Bernama.
Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pencarian dihentikan pada 7.20 malam berikutan keadaan cuaca gelap dan hujan di lokasi.
Semalam, wanita itu telah menghubungi anak perempuannya pada tengah hari memaklumkan dia tersesat sebelum bateri telefon bimbitnya mati.
Susulan itu, anak sulungnya membuat laporan polis pada jam 3 petang semalam.
Mukhlis berkata operasi hari ini melibatkan enam anggota dari balai bomba dan penyelamat Kuala Kubu Baharu termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan orang awam.
“Saudara-mara mangsa berjaya mengecilkan lokasi mereka melalui panggilan telefon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.– 17 Jun, 2024.
Komen