Keahlian 6 ahli Parlimen Bersatu digugurkan serta merta, kata Hamzah


Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata notis pembatalan keahlian enam ahli parti itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2024.

BERSATU menggugurkan keahlian enam ahli Parlimen parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan hari ini Bersatu berkata notis dikeluarkan kepada ahli terbabit untuk memaklumkan mereka dipecat.

Setiausaha Agung parti Hamzah Zainudin berkata notis itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu.

“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) juga dimaklumkan mengenai arahan itu semasa mesyuarat malam tadi.

“Notis terhenti secara serta-merta diserahkan kepada enam orang wakil rakyat yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu pada hari ini,” katanya.

“Bagi kes (ahli Parlimen Labuan) Suhaili Abdul Rahman pula, keahlian beliau terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.

“Notis terhenti secara serta-merta keahlian dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024,” katanya.

Beliau berkata proses itu dijalankan selaras dengan Perlembagaan parti dan perundangan negara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan atau di bawah undang-undang kerajaan negeri.

Keenam-enam ahli Parlimen itu juga gagal menjawab surat yang diberikan daripada MPT Bersatu untuk berikrar taat setia kepada parti.

Selain Suhaili mereka yang lain adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Semalam Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan memberitahu Speaker Dewan Rakyat tidak lama lagi bahawa enam ahli Parlimennya yang menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim bukan lagi ahli parti. – 12 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen