Bersatu tolak keputusan Muhyiddin tidak pertahan jawatan


Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata parti itu sebulat suara menolak cadangan Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau pada pemilihan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2023.

MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak cadangan Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti nanti.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata majlis itu tidak menerima keputusan Muhyiddin. 

“Mesyuarat telah sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan YB Tan Sri Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti.

“MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas mesyuarat khas majlis tertinggi yang dipengerusikan oleh timbalan presidennya Ahmad Faizal Azumu.

Terdahulu hari ini pengasas bersama dan presiden Bersatu itu mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tahun depan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata sudah tiba masanya untuk beliau berundur kerana parti itu mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan dan itu.

“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan 2023 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam hari ini. – 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen