KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM19.20 bilion bagi suku pertama (S1) berakhir 31 Mac 2024, menandakan peningkatan 33.1% daripada RM14.42 bilion pada suku yang sama 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata walaupun keputusan suku pertama kukuh, pasaran kewangan kekal tertakluk kepada beberapa risiko.
“Ini termasuk kadar faedah tinggi ‘‘tinggi untuk lebih lama’, risiko geopolitik dan konflik, dan perubahan dasar hasil daripada banyak pilihan raya di ekonomi utama tahun ini.
“Prestasi pasaran global pada S1 2024 ditandai dengan pertumbuhan berdaya tahan, terutamanya dalam ekonomi maju,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga Mac 2024, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.19 trilion, dengan pelaburan luar negara menyumbang 38% daripada jumlah aset.
“Pelaburan luar negara KWSP, terutamanya dalam ekuiti, terus mengatasi prestasi dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan, menjana pendapatan RM9.88 bilion, mewakili 51 peratus daripada jumlah pendapatan boleh diagihkan,” katanya.
Pelaburan domestik KWSP menyumbang 62% daripada jumlah aset, terutamanya dilaburkan dalam instrumen Pendapatan Tetap, memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan.
Sementara itu, terdapat sejumlah 107,105 pendaftaran ahli baharu pada suku pertama (S1 2024), menjadikan jumlah keahlian kepada 16.1 juta.
KWSP berkata daripada jumlah itu, 8.6 juta adalah ahli aktif, mewakili 50% daripada 17.1 juta tenaga buruh Malaysia.
“Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM25.83 bilion pada S1 2023 kepada RM29.13 bilion pada S1 2024,”.
Ahmad berkata peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang memilih untuk menyimpan dengan KWSP, serta ahli semasa membuat caruman sukarela, menandakan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan di bawah dasar Malaysia Madani.
“KWSP akan terus meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan dan jangkaan ahli dan majikan yang semakin berkembang, serta membina prestasi portfolionya berpandukan Peruntukan Aset Strategik (SAA) jangka panjang,” tambahnya. – 12 Jun, 2024.
Komen