Rakyat harap Bajet 2024 bantu ringankan beban kewangan


Ravin Palanisamy Alfian Z.M. Tahir

Kebanyakan rakyat Malaysia menjangkakan bantuan daripada kerajaan dalam Bajet 2024 untuk meringankan beban kewangan dan membantu mereka menyimpan lebih banyak duit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

MENJELANG pengumuman Bajet 2024 hari ini kebanyakan rakyat Malaysia menjangkakan bantuan daripada kerajaan untuk meringankan beban kewangan dan membantu mereka menyimpan lebih banyak duit.

Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 Jabatan Perangkaan menunjukkan gaji median bagi 6.45 juta pekerja dalam sektor formal ialah RM2,600.

Mengambil kira perbezaan gaji di seluruh negeri dan daerah bandar, julat gaji bagi kebanyakan kumpulan Malaysia biasa ialah antara RM1,800 hingga RM7,500.

Bagaimanapun peningkatan kos sara hidup dan inflasi yang melambung tinggi menjejaskan kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan M40.

The Malaysian Insight bercakap dengan individu kelas pekerja yang berbeza dengan kebanyakannya mendapati sukar untuk menyimpan sedikit wang setiap bulan untuk simpanan.

Muhammad Hakmie Hakeem Mohd Amin, 26, penunggang p-hailing

Hakmie seorang penunggang p-hailing yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak merupakan pencari nafkah tunggal dan bertahan dengan pendapatan bulanan purata RM2,500.

Hakmie berkata selain sewa rumah sebanyak RM500 dan bil utiliti, sebahagian besar perbelanjaannya adalah untuk tiga anak kecilnya dengan kos bulanan mencecah RM1,000. Dia juga menjaga ibunya yang sudah tua.

Hakmie berkata dia tidak mempunyai pinjaman bank untuk dibimbangkan tetapi memiliki sebuah motosikal dan Proton Saga lama yang mana dia perlu membayar penyelenggaraan bulanan.

Hakmie berkata adalah mustahil baginya untuk menyimpan wang secara konsisten kerana sering kekurangan dana setiap bulan.

Ahmad Dzulhilmi Ismail, 37, ejen insurans

Bermastautin di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan perbelanjaan bulanan Dzulhilmi kadangkala mencecah RM4,000.

Antara komitmen terbesar Dzulhilmi ialah pinjaman rumah dan pelbagai perbelanjaan untuk dua anaknya yang boleh mencecah RM3,000.

Dzulhilmi memperuntukkan hampir RM1,500 untuk dua anaknya, seorang di prasekolah dan seorang lagi di sekolah rendah.

Ejen insurans Ahmad Dzulhilmi Ismail membayar RM600 sebulan untuk pinjaman keretanya, RM400 untuk bil utiliti dan lain-lain serta RM600 untuk perbelanjaan dapur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

Ejen insurans ini juga membayar RM600 sebulan untuk pinjaman keretanya, RM400 untuk bil utiliti dan lain-lain serta RM600 untuk perbelanjaan dapur.

Memperoleh hampir RM5,000 pendapatan bulanan, dia berkata kenaikan kos sara hidup dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tinggi menyebabkannya sukar menyimpan pada setiap akhir bulan.

“Saya pernah membayar pinjaman rumah sekitar RM1,200, tetapi sekarang RM1,500.

“Walaupun kadar bahan api dan elektrik tidak naik, harga barangan lain meningkat,” katanya.

Mahathir Abdul Rahman, 41, jurulatih tenis

Sebagai pencari nafkah tunggal Mahathir berkata dia tidak boleh berjimat kerana mempunyai komitmen tinggi.

Dia memiliki dua buah rumah dengan bayaran RM6,500 sebulan.

Dia menyewakan salah satu unit itu dengan harga RM2,800 sebulan bagi mengurangkan komitmennya.

Berkahwin dan mempunyai empat anak, Mahathir juga memiliki sebuah kereta dengan bayaran RM1,900 sebulan. Purata perbelanjaan dapurnya pula sebanyak RM1,000 sebulan.

Perbelanjaannya yang lain termasuk RM320 sebulan untuk yuran pengajian anak-anaknya dan RM240 untuk penapis air.

Mahathir berkata dia juga menghadiri kelas untuk menjadi ejen insurans supaya dia boleh menambah pendapatan. – 13 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen