Peserta IPR gembira inisiatif mesin layan diri berjaya


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menerusi inisiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih, dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung pada jenis mesin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Jun 2023.

PROGRAM Inisiatif Pendapatan Rakyat (Iruang perniagaan melalui mesin layan diri yang diperkenalkan oleh Putrajaya membuahkan hasil untuk menambah pendapatanPR) iaitu , kata peserta yang terlibat.

Program itu terbuka kepada peniaga makanan dalam kalangan berpendapatan rendah atau kelompok B40 yang diberi bantuan kerajaan termasuk latihan dan kemudahan mesin layan diri.

Seorang pekerja swasta Amiruddin Ahmad Abdul Jalil, 28, lega melalui mesin layan diri IPR itu beliau dapat menambah pendapatannya sehingga RM2,000 sebulan di tengah kos sara hidup yang meningkat.

“Ini adalah pendapatan kedua saya. Saya menjual pelbagai makanan antaranya nasi, mi, sandwic dan kuih pada harga antara RM2 hingga RM5 menerusi mesin layan diri yang terletak di KL Sentral.

“Saya mampu meraih jualan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000 malah keuntungan pula diterima berjumlah RM2,500 selama sebulan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Cuma katanya, dia perlu membuat penambahbaikan dengan memperbanyakkan lagi makanan untuk jualan.

“Jadi saya sasarkan keuntungan sebanyak RM7,000 pada masa akan datang. 

“Inisiatif ini memang betul-betul membantu golongan berpendapatan rendah (B40) macam saya untuk menjana pendapatan,” katanya yang berasal dari Sabah dan menetap di Kuala Lumpur. 

Penjualan makanan melalui mesin layan diri itu serendah RM2 kerana bertujuan membantu orang ramai dan menurunkan harga makanan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Jun 2023.

Pada Mac lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa melancarkan program mesin layan diri IPR mengumumkan sasaran untuk memperluaskan IPR kepada 5,000 penerima bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) pada tahun ini.

Menerusi inisiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung pada jenis mesin.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata pelbagai manfaat diterima sebagai peserta bawah inisiatif berkenaan termasuk tidak dikenakan sewa selama dua tahun dan caj elektrik pula ditanggung pemilik tapak atau rakan strategik.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peluang dan manfaat seperti ini bagi membantu golongan B40 dan memerlukan untuk menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.

“Sebagai pengguna pengangkutan awam, saya sendiri melihat makanan siap masak yang dijual pada harga berpatutan menjadi pilihan orang ramai termasuk warga asing. 

Selain itu, Amiruddin juga berharap lebih ramai golongan muda berani untuk mencuba inisiatif baru ini untuk mengubah nasib dan menambah pendapatan sampingan.

“Saya bekerja sepenuh masa tetapi berani untuk sertai program ini untuk jana pendapatan sampingan sebab saya tinggal di bandar dan kos sara hidup pula tinggi di sini,” katanya. 

Seorang lagi peserta program, Fatin Afifah Alias, 41, berkata mesin IPR membantu orang ramai menikmati sarapan pagi dan tengah hari dengan harga berpatutan tanpa penat berikutan lokasi mesin yang strategik. 

“Saya dapat menjual antara 100 ke 120 pek nasi lemak sehari dan tidak pernah pengguna mengadu mengenai kerosakan mesin atau sukar membuat pembayaran. 

“Pada hari pertama sahaja saya sudah berjaya menghabiskan 100 pek nasi lemak dan menambah lagi 20 pek. Program ini banyak membantu daripada segi jualan.

“Program IPR ini turut sesuai bagi graduan yang masih lagi belum mendapat pekerjaan. Inisiatif ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan jadi kita cuma perlu mengeluarkan modal sahaja,” katanya. 

Mesin IPR membantu orang ramai menikmati sarapan pagi dan tengah hari dengan harga berpatutan tanpa penat berikutan lokasi mesin yang strategik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 Jun 2023.

Katanya lagi, initiatif itu membantunya untuk berniaga dengan mudah kerana jika bekalan makanan di dalam mesin layan diri sudah habis, beliau akan menerima makluman menerusi satu aplikasi di telefonnya.

“Dengan adanya aplikasi ini, saya tidak perlu berada di stesen LRT terlalu lama. Saya cuma akan datang untuk menambah pek makanan yang habis dan meletakkan makanan tengahari.

“Soal kos perbelanjaan pula, saya hanya perlu mengeluarkan modal untuk menyediakan makanan selebihnya dibiayai oleh kerajaan selama dua tahun,” katanya.

Fatin juga turut menyediakan pek nasi dagang bersama ikan dengan harga RM5 bagi makan tengahari.

Tinjauan The Malaysian Insight di Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, Ampang, KL Sentral dan Flat Kayu Ara, Petaling Jaya mendapati ramai pengguna membeli makanan di mesin layan diri yang menjual makanan tempatan dengan harga RM2 untuk sarapan pagi dan RM5 bagi makanan tengah hari.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Thevandran, 38 berkata inisiatif ini sangat bagus bagi membantu pengguna pengangkutan awam yang mengejar masa. 

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, harga RM2 dan RM5 sangat berpatutan. Rakyat kini ramai yang susah harga barangan yang murah mesti ada sambutan tetapi paling menarik bagi saya adalah mesin layan diri ini kerana ini adalah pertama kali saya melihat mesin seperti ini. 

“Membeli makanan melalui mesin ini memang mudah dan pantas. Saya cuma berharap lebih banyak mesin akan disediakan di lokasi strategik dengan lebih banyak pilihan makanan hingga ke makan malam, ” katanya.

Pekerja swasta, Muhammad Hakim Abdul Ghaffar, 29 pula berkata beliau tidak perlu berjalan jauh untuk mendapatkan makanan yang murah untuk sarapan pagi.

“Sebelum ini saya perlu berjalan agak jauh untuk mendapatkan makanan yang murah, jika saya membeli makanan yang berhampiran, sekurang-kurangnya saya perlu mengeluarkan RM8 untuk mendapatkan hidangan sepinggan lengkap,” katanya.

Sekarang, katanya, dengan RM5 beliau dapat membeli makanan tengah hari di kawasan perumahannya. 

Bagi pemandu peribadi, Darwin Kelvin, 32, selepas menghantar majikannya ke pejabat dia akan menuju ke mesin IPR yang berdekatan sama ada di KL Sentral atau LRT Cempaka untuk membeli membeli sarapan pagi atau makanan tengah hari. 

“Jika dulu saya perlukan RM15 sehari untuk makanan tetapi saya sekarang dapat jimat antara RM5 hingga RM7 sehari,” katanya. 

Pelancaran IPR bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk menjana pendapatan membabitkan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

IPR membabitkan tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Penjualan makanan melalui mesin layan diri itu serendah RM2 kerana bertujuan membantu orang ramai dan menurunkan harga makanan. – Bernama, 2 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen