Litar pintas punca kebakaran di kampung setinggan di Inanam, kata polis


Kebakaran rumah di kawasan setinggan yang terletak bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu. – Gambar Facebook, 10 Jun, 2024.

KETUA Polis Kota Kinabalu Kasim Muda menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa membakar rumah setinggan bersebelahan perkampungan air Kampung Kalansanan Inanam di Kota Kinabalu, lapor Bernama.

Beliau berkata kejadian yang meragut 26 rumah setinggan itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di salah sebuah rumah sebelum api merebak ke struktur perumahan haram lain.

Kasim berkata litar pintas itu juga dipercayai berpunca daripada rumah pertama yang terbakar digunakan sebagai sumber masuk kabel elektrik dan disambungkan ke rumah lain.

“Ketika itu polis berada dalam jarak antara 50m dan 60m dari lokasi terbabit. Polis berada di belakang dan tidak terlibat di bahagian hadapan (kawasan punca kebakaran) dan kebakaran tiada kaitan dengan kawasan operasi (polis),” katanya.

Kasim berkata polis turut menjelaskan kepada penduduk bahawa pihak berkuasa tidak datang ke kawasan itu untuk membakar Kawasan berkenaan sebaliknya menjalankan operasi membanteras pendatang tanpa izin dan jenayah.

Beliau berkata polis sudah menghubungi bomba dan penyelamat untuk melaporkan kebakaran sebelum bomba tiba kira-kira jam 12.59 tengah hari untuk memadamkan kebakaran.

Beliau merayu pihak terbabit memadamkan video tular yang mengelirukan orang ramai itu dan menasihatkan berhati-hati dalam berkongsi maklumat yang tidak disahkan kesahihannya.

Dalam pada itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dan 12 dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu berjaya mengawal kebakaran pada jam 2 petang.

“Lokasi kebakaran tidak mempunyai akses kepada kenderaan dan pihak bomba tidak dapat menyeberangi perairan kerana jambatan yang rosak telah runtuh.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Pasukan penyiasat masih berada di lokasi dan berdepan kelewatan kerana masih terdapat kabel elektrik berwayar haram,” katanya.

Beliau berkata Sabah Electricity Sdn Bhd memberi amaran terdapat terlalu banyak sambungan elektrik haram di jajahan setinggan itu menyebabkan risiko renjatan elektrik daripada wayar hidup. – 10 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen