Kementerian serah kepada polis kes murid diserang strok haba, kata Fadhlina


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian menyerahkan isu murid diserang strok haba kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2024.

KEMENTERIAN Pendidikan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kes murid tahun lima yang menjadi orang kurang upaya (OKU) selepas diserang strok haba, kata Fadhlina Sidek.

Menteri pendidikan berkata kementerian menjalankan siasatan berhubung kes itu tetapi beliau menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Bagi kes ini, kita serahkan kepada pihak berkuasa dan siasatan sedang dijalankan polis.

“Sudah ada laporan polis dan kita serahkan kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Bagi peringkat Kementerian Pendidikan pula, kita menjalankan siasatan mengikut protokol dan prosedur yang ditetapkan,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan New Straits Times hari ini.

Fadhlina yang juga ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Jabatan Pendidikan Negeri juga menjalankan siasatan berhubung kes itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).

Pada 30 April, murid terbabit dari sebuah sekolah di Ampang dihukum oleh gurunya bersama tiga lagi murid lain. Mereka diarahkan berdiri di bawah matahari terik, iaitu hukuman yang dilarang oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Tiga lagi murid lelaki yang lain dilepaskan hukuman itu lebih awal berbanding mangsa.

Namanya tidak didedahkan kerana masih di bawah umur.

Pada Rabu, keluarga mangsa mendakwa pihak berkuasa cuba menyimpang daripada isu utama, iaitu hukuman dilakukan oleh guru terbabit menyebabkan anak mereka bergelar OKU.

Siasatan polis kini lebih tertumpu kepada status kanak-kanak itu sebagai OKU yang kini cuba didakwa dialaminya sebelum kejadian, sedangkan sepatutnya fokus isu ini adalah bagaimana mangsa dihukum dan tindakan perlu diambil terhadap guru terbabit, kata mereka.

Menurut laporan awal polis dibuat ibu mangsa, beliau mendakwa anak lelakinya diarahkan berdiri di bawah matahari terik dari 10 pagi hingga 12.50 tengah hari, kira-kira tiga jam.

Pada 25 Mei, Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata siasatan mendapati suspek terbabit seorang guru lelaki berusia 37 tahun menghukum mangsa dan tiga murid lelaki yang lain selama “10 minit”.

Katanya polis melengkapkan siasatan berkaitan tuduhan ibu mangsa dan kertas siasatan dirujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya. – 9 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen