Gelombang haba jejaskan bekalan sesetengah buah-buahan, kata petani


Noel Achariam

Tembikai antara buah-buahan yang terjejas disebabkan cuaca panas melampau kerana ia cepat busuk dan tidak boleh dijual. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2023.

PENGGUNA boleh menjangkakan kekurangan bekalan buah-buahan terpilih berikutan gelombang haba dan cuaca tidak menentu yang menjejaskan ladang di negara ini, kata petani.

Presiden Gabungan Persatuan Peladang Sayur-sayuran Lim Ser Kwee berkata beliau tidak pasti berapa lama ia akan berlaku.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kekurangan buah nenas akibat gelombang haba.

“Jika buah-buahan tidak disimpan dengan betul maka 100% ia akan busuk begitu juga tembikai. Cuaca menjejaskan buah.

“Sekurang-kurangnya sehingga 30% tanaman nenas rosak akibat cuaca dan terpaksa dibuang. Malah durian belanda juga terjejas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, harga bagi sebiji nenas seberat 1 kilogram adalah melebihi RM2 dan jika seorang petani menanam lebih seribu malah 10,000 buah maka mereka boleh mengalami kerugian besar jika buah itu tidak dijual dengan cepat.

Dilaporkan beberapa peniaga tembikai di Kedah mengalami kerugian akibat lebihan dan rosak akibat cuaca panas.

Peniaga di Ayer Hitam, Jerlun yang mendapat bekalan kira-kira 10 tan tembikai selama dua minggu terpaksa membuang hampir satu tan akibat cuaca panas yang menyebabkan buah itu busuk.

Presiden Persatuan Peladang Buah Johor Alvin Lo berkata terdapat penurunan sebanyak 60% hingga 70% pengeluaran betik akibat gelombang haba.

“Semua ini disebabkan cuaca. Kami juga terjejas pada Mac lalu kerana banjir.

“Apabila kita mula pulih, cuaca panas pula. Jika tidak cukup air maka bunganya mudah rosak.

“Sekiranya cuaca buruk berterusan, kita boleh terjejas dalam tempoh tiga bulan akan datang. Malah pada bulan puasa pun terdapat kekurangan tembikai kerana cuaca.”

Beliau juga berkata mungkin terdapat kekurangan pisang kerana tidak banyak yang tumbuh kerana kekurangan tenaga kerja, bekalan dan kekurangan air.

“Sejak dua tahun lalu kos kami untuk pekerja, gaji, baja dan pembunuh rumpai meningkat sebanyak 30% tetapi harga buah-buahan tidak meningkat dengan banyak.” – 15 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen