Rompakan rumah pemain bola sepak Selangor hanya kebetulan, kata polis


Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata kejadian pecah rumah pemain bola sepak Selangor FC Khuzaimi Piee di Shah Alam adalah satu kebetulan dan tidak ada kaitan dengan serangan terhadap pemain lain kelab itu. – Gambar fail The Vibes, 8 Jun, 2024.

KEJADIAN pecah rumah pemain bola sepak Selangor FC Khuzaimi Piee di Shah Alam adalah satu kebetulan dan tidak ada kaitan dengan serangan terhadap pemain lain kelab itu, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Hussein berkata rumah Khuzaimi tidak disasarkan secara khusus hanya kerana dia adalah pemilik rumah itu.

“Siasatan awal mendapati suspek memantau rumah lain di kawasan itu sebelum menceroboh rumah pemain bola sepak itu.

“Tiada sesiapa di rumah ketika kejadian pecah rumah itu,” katanya.

Beliau berkata dalam kejadian itu sebuah motosikal, pasport dan beg berjenama telah dicuri.

“Rumahnya tidak menjadi sasaran kerana dia adalah pemain bola sepak Selangor.

“Kami percaya suspek memilih rumah mangsa kerana rumah kosong itu memberi risiko yang lebih rendah kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Kajang hari ini.

Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki terlibat dalam kejadian pecah rumah itu.

Katanya, kenderaan yang digunakan suspek mempunyai nombor plat palsu.

Pemain bola sepak berusia 31 tahun itu membuat laporan polis mendakwa rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 11.30 malam minggu lalu.

Pada 6 Mei lalu pemain sayap Selangor Faisal Halim melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Berikutan serangan asid ke atas Faisal dan ancaman yang dibuat kepada pegawai pasukan Selangor FC, Khuzaimi bimbang akan keselamatan keluarganya.

Dia bimbang alamat rumahnya diketahui individu yang tidak sepatutnya selepas pencuri mengambil pasportnya.

“Kebimbangan terbesar saya sekarang ialah pasport yang dicuri dengan alamat kampung kami. Saya bimbang keselamatan keluarga saya di kampung,” kata Khuzaimi kepada New Straits Times. – 8 Jun 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen