Nahas pesawat: Ujian DNA 9 mangsa selesai, kata polis


Mayat kesemua mangsa dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. – Gambar AFP, 20 Ogos 2023.

PROSES ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengetahui identiti sembilan lagi mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam selesai malam tadi, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

“Kami sudah selesai semua ujian DNA dan sudah kenal pasti identiti mangsa yang terkorban dan kita akan serahkan kesemua mayat kepada waris pada jam 9 pagi esok (hari ini),” katanya pada sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, malam tadi. 

Beliau berkata masih terdapat satu lagi prosedur yang perlu dilaksanakan waris iaitu membuat laporan polis bagi proses membawa keluar mayat.

Katanya, jenazah akan dibawa ke masjid berhampiran untuk diuruskan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Selepas itu akan diaturkan untuk ke tanah perkuburan yang dipersetujui oleh pihak keluarga,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, penunggang p-hailing yang terkorban dalam nahas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah  4 petang semalam.   

Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di situ semasa kejadian.

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang namun terhempas sebelum mendarat. – Bernama, 20 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen