DUA minggu lalu, buat pertama kali saya dimasukkan ke hospital atas faktor kesihatan yang tidak begitu baik. Berada di wad hospital selama seminggu memang pengalaman yang kurang enak. Namun, kebosanan itu dapat diredakan dengan bersembang dengan pesakit lain di wad yang sama.
Di hadapan katil saya terdapat seorang pesakit lelaki. Tinggi lampai orangnya. Saya menyangka dia berada awal 20-an. Rupa-rupanya, dia berusia 17 tahun, namanya Zainudin. Dia ditahan di hospital kerana luka di bahagian ususnya.
Sarapan pagi telur separuh masak dengan serbuk lada hitam punca dia rasa pedih di bahagian perut ketika bekerja mengangkat dawai yang agak berat di sebuah kilang. Saya cukup kagum dengan semangatnya untuk bekerja awal dalam usia muda selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Eh, saya sebenarnya tak pergi ambil SPM pun,” kata Zainudin. Lalu saya bertanya sebab dia tidak mengambil SPM. “Saya tak ambil SPM sebab ibu saya masa tu baru lepas kena operation potong jari akibat kencing manis. Baik saya jaga ibu daripada ambil SPM.”
Zainudin menceritakan belajar bukanlah jiwanya. Sejak umur 16 tahun, dia sudah bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing demi mencari duit dan tidak pergi ke sekolah. “Macam mana kau boleh jadi rider kalau umur 16 tahun?” tanya saya kepada dia.
“Saya minta kawan yang tua sikit umurnya untuk daftar jadi rider. Lepas itu, saya pakai nama dia. Cukup hujung bulan, bayar komisen dekat dia”. Zainudin ceritakan lebih lanjut.
Keperitan hidup
Cerita Zainudin ini berkisar tentang kesempitan hidup keluarganya yang dikata biasa-biasa tetapi sebenarnya luar biasa. Dia tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur bersama keluarga dan neneknya. Kedua-dua ibu bapanya sakit kronik dan sudah tidak bekerja.
Abangnya yang berusia awal 30-an pula mengalami masalah buah pinggang sehingga berkerusi roda. Kakaknya pula hanya pekerja biasa bergaji bawah RM2,000 sebulan di kilang dawai, tempat Zainudin bekerja.
Dengan tahap kesihatan keluarga yang kronik dan tidak cukup simpanan, Zainudin merasakan usaha mencari duit adalah solusi terbaik daripada sambung pelajaran.
“Cikgu tak cari kau ke bila kau ponteng sekolah dan tak ambil SPM?,” tanya saya lagi.
Zainudin menyatakan tidak ada cikgunya tidak kisah tentang dirinya dan situasi yang dia alami.
“Sekarang ni saya nak kerja kuat untuk teruskan kehidupan. Jiran-jiran nak kata saya tak SPM pun saya apa kisah. Asalkan kerja saya halal,” kata Zainudin dengan penuh semangat.
Saya cuba memahami situasi Zainudin. Ikutkan hati, tentu saja saya mahu memberi tazkirah kepada dia. Tetapi saya sedar, anak muda seperti Zainudin ini perlu diberi peluang dan motivasi demi meneruskan kehidupan yang semakin mencabar,
“Apa yang penting kau berbaktilah kepada ibu ayah kau. Ada gaji nanti kau bagi ibu kau,” pandangan yang saya kongsikan kepada dia. “Kalau ada chance boss kau nak hantar ambil sijil kemahiran kau pergi je. Boleh naikkan gaji kau,” tambah saya lagi.
Sudah terhantuk baru nak sedar?
Masa depan remaja seperti Zainudin ini mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya warga pendidik mempunyai rasa bertanggungjawab menyelami realiti sebenar. Sekolah bukan sekadar institusi tunggal yang berdiri dengan bangunan semata-mata. Ia adalah institusi yang perlu dekat dan menyelami keperluan masyarakat, khususnya keluarga dan para pelajar bermasalah.
Peliknya, masalah pelajar tidak hadir menduduki SPM kerap dibahaskan setelah keputusan SPM diumumkan. Bak kata peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak sedar, baru nak buat? Apakah selama ini pihak sekolah dan jabatan pendidikan tidak mengambil usaha melakukan intervensi awal untuk menjejak pelajar yang cenderung untuk tidak mengambil SPM dengan lebih awal?
Apakah setiap sekolah dan guru tahu akan kehidupan pelajar dan ibu bapa? Apakah warga pendidik tidak mempunyai data tentang para pelajar? Persoalan ini yang membuatkan saya tidak boleh duduk diam tentang sistem pendidikan negara.
Hampir 10,160 daripada 383,685 orang pelajar SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan. Meskipun angka tidak hadir ini sekadar 2.6%, tetapi ia akan memberi kesan besar mendalam, berkemungkinan tidak mengalami mobiliti sosial untuk meningkatkan kesejahteraan hidup.
Malah, dari sudut ekonomi, individu yang tidak mempunyai kelayakan akademik minimum terpaksa bergelut dengan persaingan di peringkat bawah atau race to the bottom yang tinggi, antara pekerja asing dan graduan universiti. Saat ini yang menyulitkan mereka untuk mendapat pendapatan setimpal bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.
Peranan ibu bapa cukup penting dalam memastikan anak-anak melengkapkan pendidikan asas. Terdapat ramai anak-anak pesawah, penoreh getah, dan tukang sapu sampah yang berjaya dalam SPM dan akademiknya. Iltizam ibu bapa menekankan kepentingan pendidikan kepada anaknya adalah kunci komitmen anak mereka terus belajar.
Peluang kedua
Kemiskinan keluarga bukanlah satu alasan munasabah bagi anak melupakan pelajaran semata-mata untuk mencari wang ringgit. Namun, dengan cabaran ekonomi yang semakin kompleks, suka atau tidak, pihak pentadbiran pendidikan perlu peduli akan nasib pelajar daripada keluarga yang memerlukan.
Memang benar anak muda mudah terpengaruh dengan trend sehingga memilih kerjaya menjadi pempengaruh media sosial yang dianggap mendapat pendapatan lumayan. Persoalannya, apakah komitmen industri dan pihak berwajib melipatgandakan usaha memastikan pelajar faham tentang keperluan pekerjaan yang lebih baik untuk masa hadapan?
Peluang kedua adalah tawaran paling ideal buat remaja yang senasib Zainudin. Pelbagai program tersedia buat golongan ini meningkatkan kemahiran, khususnya dalam sektor TVET. Persoalannya, apakah mereka ini mempunyai motivasi untuk menghabiskan program ini hingga akhir sehingga tamat pengajian? Apakah industri akan menghargai kemahiran mereka setelah tamat pengajian?
Cerita Zainudin ini hanyalah satu dalam 10,000 pelajar yang tidak hadir SPM 2023. Mungkin ada banyak lagi realiti yang lebih perit daripada kisah ini. Jika masalah ini diatasi lebih efektif, sudah pasti keupayaan pelajar untuk meneruskan pembelajaran makin tinggi.
Jika tidak, negara bakal kekurangan modal insan yang terpaksa bergelut dengan kehidupan yang semakin mencabar. – 4 Jun, 2024.
* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen