PEMANGKU Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengecam cubaan mengaitkan institusi diraja itu dengan dakwaan serangan ke atas pemandu e-hailing Isnin lepas.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” katanya di aplikasi X.
Dalam postingnya, Pemangku Raja Johor menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar.
“Merujuk kepada kejadian yang berlaku di St Regis Hotel Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera saya menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan,” katanya.
Laporan polis telah dibuat terhadap pengawal peribadi seorang VIP kerana didakwa menyerang seorang lelaki kurang upaya di sebuah hotel minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain memberitahu sidang media kes itu difailkan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Pemandu Grab yang kurang upaya itu dikatakan meletak kenderaan di pintu masuk hotel ketika konvoi VIP meninggalkan premis terbabit.
Dilaporkan lelaki itu telah mengambil empat penumpang di hotel itu sebelum salah seorang pengawal peribadi VIP mengetuk pintu keretanya dan menyerangnya.
Pemandu itu mengalami kecederaan tisu lembut dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Beberapa jam selepas sidang media Shuhaily, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata kes itu telah diselesaikan secara baik.
Rusdi berkata pemandu itu telah membuat laporan polis kedua menyatakan bahawa perkara itu telah “diselesaikan secara baik” dan dia telah mengaitkan kejadian itu sebagai “salah faham” dan dia tidak mahu memanjangkan perkara itu. – 31 Mei 2024.
Komen