9 rakyat Malaysia cedera, seorang parah dalam pendaratan cemas Singapore Airlines, kata Wisma Putra


Alfian Z.M. Tahir

Keadaan pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 yang berdepan gelora udara teruk dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang Selasa. – Gambar Facebook, 22 Mei, 2024.

KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan sembilan rakyat Malaysia cedera manakala seorang parah dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321.

Pesawat itu yang dalam perjalanan dari London ke Singapura terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang Selasa.

Kedutaan Besar Malaysia di Thailand turut mengesahkan 16 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat itu.

Daripada sembilan yang cedera, seorang dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

“Kedutaan telah berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital, dengan pegawai konsular melawat rakyat Malaysia yang dimasukkan ke beberapa hospital di Bangkok untuk memberikan bantuan konsular.

“Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga di Hospital Samitivej Sukhumvit.

“Mereka berada di bawah pengawasan dan menunggu keputusan perubatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian juga mengucapkan takziah kepada penumpang yang maut dalam kejadian itu.

Kementerian turut berkata saudara-mara rakyat Malaysia yang terjejas boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Bangkok menerusi talian +66-2340-5731 untuk maklumat lanjut.

Semalam pesawat Singapore Airlines itu berdepan gelora udara teruk dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok.

Seorang penumpang warga Britain berusia 73 tahun maut dan 30 yang lain cedera semasa kejadian itu. – 22 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen