SEJUMLAH 50 tan barangan utama bantuan kemanusiaan bernilai RM7 juta untuk rakyat Palestin di Gaza siap sedia untuk dihantar ke Gaza melalui Mesir.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, barangan itu dikumpul melalui kempen Ops Ihsan oleh lebih 40 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada 21 dan 22 Oktober lalu.
“Penghantaran pertama barangan kemanusiaan ini dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Arish melalui penerbangan kargo sewa khas pada 3 November atas pembiayaan kerajaan Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Penghantaran seterusnya melalui laut dan akan digerak sebaik mendapat butiran terkini dari lapangan oleh pasukan Ops Ihsan ke bandar Ismailiyah, Mesir dalam masa terdekat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, jumlah keseluruhan kutipan yang dikumpul menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diselia kementerian luar bagi membantu rakyat Palestin akibat konflik terbaharu yang melanda di Semenanjung Gaza sebanyak RM81 juta.
Menurut kementerian, penerimaan sumbangan itu ke dalam akaun sedang dalam proses, sehingga hari ini (28 Oktober), sejumlah RM23 juta dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.
Kementerian berkata, jumlah itu termasuk dana yang diterima daripada syarikat korporat yang menjanjikan sumbangan sewaktu majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP pada 19 Oktober di Seri Perdana.
Berikutan jumlah sumbangan yang tinggi masuk ke dalam akaun AAKRP, pengeluaran resit rasmi sumbangan melalui AAKRP itu akan mengambil sedikit masa.
Sumbangan tunai boleh disalur melalui AAKRP melalui pautan https://shorturl.at/begq8.
Sumbangan yang dibuat melalui AAKRP layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. – Bernama, 28 Oktober, 2023.
Komen