Pelajar ke luar negara dinasihat mohon visa lebih awal


Pelajar Malaysia yang merancang untuk belajar di luar negara dinasihatkan memohon visa belajar lebih awal.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2024.

PELAJAR Malaysia yang merancang untuk belajar di luar negara, terutamanya di United Kingdom, dinasihatkan supaya memohon visa belajar lebih awal bagi mengelakkan kelewatan di saat akhir.

“Memandangkan permintaan yang tinggi, kami menggesa pelajar memohon visa mereka seawal mungkin untuk mengelakkan kelewatan saat akhir,” kata Kaushik Ghosh, yang mengetuai VFS Global untuk rantau Australasia.

Pakar visa VFS Global juga berkata ia bekerjasama dengan Visa dan Imigresen UK (UKVI) dalam memperkenalkan langkah khusus untuk memudahkan musim perjalanan pelajar.

“Memandangkan lebih daripada 75% permohonan visa pelajar adalah untuk United Kingdom, kami terus bekerjasama rapat dengan Visa dan Imigresen UK untuk memastikan kelancaran semasa musim puncak yang akan datang,” tambah Ghosh.

Menjelang musim puncak, VFS Global berkata ia akan membuka Lokasi Pendaftaran Sementara di Sabah dan Sarawak untuk menjadikan perkhidmatannya lebih mudah diakses oleh pelajar.

Pusat permohonan visa akan beroperasi waktu tambahan, dengan dibuka pada hari Sabtu bagi menerima permohonan juga untuk pengambilan pasport.

Ia juga mengingatkan pelajar untuk memohon visa mereka seawal mungkin, terutama bagi mereka yang merancang untuk melanjutkan pelajaran di UK.

Pelajar yang pergi ke UK boleh memohon visa mereka enam bulan sebelum tarikh permulaan kursus mereka.

Tahun akademik baharu bermula pada bulan September di hampir semua universiti luar negara.

VFS Global juga berkata permohonan visa pelajar dari Malaysia untuk 2023 menyaksikan lonjakan 11% daripada tahun sebelumnya merentasi semua destinasi utama, dengan hampir dua pertiga pemohon belajar di United Kingdom.

Ia berkata lebih 6,300 warganegara Malaysia telah diberikan visa pelajar untuk belajar di UK pada 2023.

Destinasi utama lain yang menarik pelajar dari Malaysia termasuk Australia, Kanada, Jerman dan AS.

Tambahnya permohonan visa meningkat dengan pelonggaran sekatan perjalanan. Bagaimanapun bilangan permohonan visa belajar masih 23% di bawah volum 2019. – 13 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen