Thailand tawar kemasukan tanpa visa kepada pelancong India dan Taiwan


Sektor pelancongan Thailand menyumbang hampir 20 peratus daripada keseluruhan KDNK tetapi bergelut untuk bangkit semula sejak penularan wabak Covid-19. – Gambar AFP, 31 Oktober, 2023.

THAILAND akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pelancong dari India dan Taiwan, kata Perdana Menteri Srettha Thavisin hari ini.

Beliau berkata usaha itu dibuat untuk membina semula sektor pelancongan utama selepas ia dilanda wabak.

Pelancong India dan Taiwan berhak tinggal sehingga 30 hari di bawah percubaan selama enam bulan yang akan bermula bulan depan.

Sektor pelancongan Thailand menyumbang hampir 20 peratus daripada keseluruhan KDNK tetapi bergelut untuk bangkit semula sejak penularan wabak Covid-19.

“Kami akan menyediakan kemasukan tanpa visa untuk pelancong India dan Taiwan kerana ramai rakyat mereka suka melancong ke Thailand,” kata Thavisin kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet mingguan.

Sehingga kini pelancong dari India dan Taiwan terpaksa memohon visa semasa ketibaan selama 15 hari di pusat pemeriksaan imigresen dengan mengemukakan penyata bank dan bukti penginapan.

Langkah itu dibuat selepas kerajaan membuka skim bebas visa yang sama untuk pelancong China pada September.

Jurucakap kerajaan Chai Watcharong berkata pihak berkuasa berharap skim itu akan menarik 1.4 juta pelancong tambahan dan menjana pendapatan tambahan 55 bilion baht ($1.5 bilion).

Kira-kira 1.2 juta warga India melawat Thailand dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, menurut data kementerian pelancongan yang mana ia jumlah keempat tertinggi selepas Malaysia, China dan Korea Selatan.

Srettha yang mengambil alih kuasa pada Ogos berikutan perbalahan politik berbulan-bulan selepas pilihan raya Mei berkata meningkatkan sektor pelancongan dan merangsang ekonomi adalah antara keutamaannya. – AFP, 31 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen