Bank Negara kekal OPR 3%


BANK Negara hari ini mengumumkan kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal pada 3% selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Ia kekal pada 3% sejak Mei 2023, yang sebelum itu berada pada tahap 2.75% pada Mac 2023.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada purata 1.7% dan 1.8% pada suku pertama 2024, tambah bank pusat itu.

Ia berkata inflasi pada 2024 dijangka kekal sederhana, secara amnya mencerminkan keadaan permintaan stabil dan tekanan kos yang terkawal.

“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa mengenai inflasi dan prospek pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata Bank Negara dalam satu kenyataan.

Bank Negara juga berkata OPR yang tertinggi adalah 3.50% pada April 2006. Pada masa itu, ekonomi berkembang dengan stabil, inflasi IHP berada pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan untuk menguruskan risiko harga lebih tinggi.

Sementara itu, OPR yang terendah pada 1.75% dari Julai 2020 hingga Mei 2022 untuk menyokong ekonomi semasa pandemik Covid-19.

“Pada masa yang sukar, kadar faedah yang rendah menjadikan peminjaman lebih murah dan mengurangkan pulangan simpanan. Ini merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan dan melindungi pekerjaan serta pendapatan semasa krisis,” kata bank pusat itu. – 9 Mei, 2024.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen