Kurang permintaan punca tarik balik vaksin Covid-19, kata AstraZeneca


Media semalam melaporkan AstraZeneca telah mula menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia selepas mengakui vaksin keluaran firma itu boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2024.

ASTRAZENECA menarik balik vaksin Covid-19 keluarannya kerana kekurangan permintaan, bukan atas faktor keselamatan, menurut jurucakap firma biofarmaseutikal Britain-Sweden itu.

Jurucakap itu berkata AstraZeneca telah mengambil keputusan untuk memulakan penarikan balik “Kebenaran Pemasaran” untuk vaksin itu, yang dikenali sebagai Vaxzevria di Eropah.

“Memandangkan pelbagai jenis vaksin Covid-19 telah dibangunkan sejak itu, terdapat lebihan vaksin terkini yang tersedia.

“Ini telah menyebabkan penurunan permintaan untuk Vaxzervria, yang tidak lagi dikeluarkan atau dibekalkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, Vaxzervria telah memainkan peranan besar dalam menamatkan pandemik Covi-19, dengan lebih 6.5 juta nyawa telah diselamatkan hanya dalam tahun pertama penggunaan dan lebih daripada tiga bilion dos telah dibekalkan di seluruh dunia.

“Usaha AstraZeneca telah diiktiraf oleh kerajaan di seluruh dunia dan dianggap sebagai komponen penting untuk menamatkan pandemik Covid-19 global.

Jurucakap itu mengulas laporan media semalam yang menyebut AstraZeneca telah mula menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia selepas mengakui vaksin keluaran firma itu boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Menurut laporan Telegraph, permohonan untuk menarik balik vaksin itu dibuat pada 5 Mac dan berkuat kuasa pada 7 Mei (Selasa).

Vaksin dikenali sebagai Vaxzevria itu tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah selepas syarikat itu secara sukarela menarik balik “kebenaran pemasaran”, menurut laporan itu.

Telegraph melaporkan permohonan serupa akan dibuat di United Kingdom dan negara lain yang telah meluluskan vaksin itu pada bulan depan. – 9 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen