Pengajaran menyakitkan daripada vaksin Covid-19


Tiga tahun lalu, kita semua diberitahu betapa pentingnya vaksin untuk membendung pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2024.

TIGA tahun lalu seluruh dunia telah diberi amaran mengenai kesan sampingan yang jarang berlaku akibat pengambilan vaksin Covid-19, AstraZeneca. 

Kemudian, menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin mengugut rakyat bahawa kerajaan “akan membuatkan hidup kita susah” jika enggan divaksin.

Sekarang, tiga tahun selepas pandemik Covid-19, firma farmaseutikal AstraZeneca berdepan pampasan undang-undang bernilai jutaan dolar ekoran kesan sampingan bahaya disebabkan oleh vaksin keluarannya.

Gergasi farmaseutika itu kini mengakui vaksin Covid-19 keluarannya, Covishield yang digunakan secara meluas boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku, termasuk pembekuan darah dan kiraan platelet yang rendah.

Pengeluar-pengeluar vaksin Covid-19 iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Moderna telah memohon pengecualian daripada dikenakan hukuman bagi vaksin yang dihasilkan dalam masa yang cukup singkat. Negara-negara, termasuk Malaysia, telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian ganti rugi dengan firma-firma ini.

Covishield dibangunkan oleh AstraZeneca, iaitu syarikat British-Sweden, dengan kerjasama Universiti Oxford, United Kingdom. Vaksin itu dihasilkan oleh Institut Serum India dan diedar secara meluas di lebih 150 negara, termasuk Britain dan India.

Beberapa kajian yang dijalankan semasa pandemik Covid-19 mendapati vaksin itu 60% hingga 80% berkesan untuk melindungi seseorang individu daripada Covid-19.

Bagaimanapun, hasil kajian yang dijalankan kemudian mendapati Covishield boleh menyebabkan sesetengah orang mengalami pembekuan darah, yang boleh membawa maut.

Firma farmaseutikal AstraZeneca berdepan pampasan undang-undang bernilai jutaan dolar ekoran kesan sampingan bahaya disebabkan oleh vaksin keluarannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2024.

Setakat ini seramai 51 individu di United Kingdom yang disuntik vaksin Astrazeneca menuntut ganti rugi sehingga £100 juta, mendakwa vaksin itu boleh menyebabkan kematian dan kecederaan parah.

Salah seorang daripada mereka mendakwa vaksin itu menyebabkan dia mengalami kecederaan otak kekal selepas mengalami pembekuan darah, menghalangnya daripada bekerja.

Dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada mahkamah pada Februari, Astrazeneca membuat beberapa pengakuan antaranya, vaksin Covid-19 buatannya “boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS atau ‘Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome’ iaitu pembekuan darah dan kiraan platelet darah menjadi rendah.

“Memang diakui bahawa vaksin AZ boleh, dalam kes yang sangat jarang berlaku, menyebabkan TTS. Mekanisme penyebab tidak diketahui,” katanya seperti dilapor The Telegraph.

Pengakuan AstraZeneca itu bercanggah dengan kenyataannya pada tahun lepas, bahawa ia “menolak dakwaan bahawa TTS disebabkan oleh vaksin pada peringkat generik”.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengesahkan bahawa vaksin AstraZeneca boleh mempunyai kesan sampingan yang mengancam nyawa. – 7 Mei, 2024.

Artikel penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen