Pemain JDT pula jadi mangsa serangan 


Keadaan kereta pemain bola sepak JDT Safiq Rahim yang dipecahkan oleh dua individu tidak dikenali.– Gambar Facebook, 8 Mei, 2024.

PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim merupakan pemain bola sepak terbaru yang diserang, selepas serangan asid ke atas pemain sayap kebangsaan Faisal Halim.

Pemain bola sepak berusia 36 tahun itu diserang berhampiran pusat latihan JDT.

Dia menyiarkan gambar kenderaannya yang remuk dan laporan polis di akaun Instagramnya malam tadi.

“Saya tidak sangka diserang berhampiran pusat latihan JDT.

“Masa seperti ini, kita harus berhati-hati,” tulisnya dalam kapsyen.

Menurut laporan polis Safiq, kejadian berlaku kira-kira jam 10.05 malam semalam selepas dia mengambil barangnya di pusat latihan JDT di Sri Gelam.

Beliau berkata, dua lelaki bermotosikal menghampiri keretanya dan seorang daripada mereka mengeluarkan tukul dan mengetuk cermin depannya, menyebabkan ia retak.

“Saya terkejut dan segera memberhentikan kereta… kedua-duanya berhenti di hadapan kereta saya dan menunjukkan tukul kepada saya dan saya cepat-cepat mengundurkan kereta itu.

“Tidak lama kemudian, kedua-duanya meninggalkan tempat itu dan memandangkan cermin belakang pecah, saya membuat laporan polis,” katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Larkin.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Serangan terhadap Safiq berlaku beberapa hari selepas pemain sayap negara Faisal Halim, yang juga dikenali sebagai Mickey, mengalami serangan asid di litar go-kart di Lembah Klang Ahad lalu (5 Mei).

Terdahulu, pada 2 Mei lalu, pemain sayap negara dan pemain Terengganu Akhyar Rashid telah diserang dan disamun berhampiran kediamannya di Kuala Terengganu. – 8 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen