Johor umum cuti peristiwa Ahad ini


Cuti itu Bersempena kemaraan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022. – Gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi, 25 November, 2022.

KERAJAAN negeri Johor hari ini mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad (27 November) bersempena kemaraan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri juga bersetuju menimbal guna tarikh pada Isnin (28 November) sebagai hari cuti umum susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri menjunjung kasih kerana Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memberi perkenan bagi meraikan kejayaan ini serta turut menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi inspirasi kepada Orang Muda Johor dan memberi sokongan kepada atlet-atlet Johor.

“Ia juga menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan,” katanya menerusi laman rasmi Facebook, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani menerusi kenyataan hari ini memaklumkan cuti tersebut adalah untuk memudahkan para penyokong menyaksikan perlawanan seterusnya memberi keselesaan untuk merancang dan mengatur perjalanan agar tidak tergesa-gesa serta berada dalam keadaan selamat. 

“Pengisytiharan cuti ini adalah selaras dengan Seksyen 8 dan 9 Akta Hari Kelepasan 1952 (Akta 369),” katanya dalam kenyataan berasingan hari ini. – Bernama, 25 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen