KPM sudah tangani isu dibangkit Laporan Bank Dunia, kata Fadhlina


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah mengadakan siri libat urus dengan pihak berkepentingan berkaitan masa depan pendidikan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) secara progresif dan proaktif telah menangani isu-isu berkenaan sistem pendidikan negara yang dibangkitkan dalam Laporan Bank Dunia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills”, kata Fadhlina Sidek.

Menteri pendidikan itu dilaporkan berkata, KPM ketika ini juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi reformasi pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum untuk menangani keciciran pembelajaran.

“Kita kena sentiasa optimis dengan pendidikan ini. Apa jua laporan harus melihat dan tangani dengan penuh cermat bersama dengan tindakan yang progresif.

“Ingin saya tegaskan, KPM telah lebih awal mengumumkan reformasi pendidikan kita, pertamanya dengan penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti isu-isu dan melaksanakan reformasi ini dengan segera.

“Sebagai contoh, jawatankuasa peluasan prasekolah telah kita laksanakan dan tahun 2023/ 2024 adalah tahun peluasan prasekolah di insititusi KPM secara besar-besaran termasuk dengan intervensi kurikulum,” katanya seperti dipetik Bernama.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan syarahan pada program Distinguished Lecture Series on Youth Well-Being (DLS) anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini. 

KPM juga katanya telah mengadakan siri libat urus dengan pihak berkepentingan berkaitan masa depan pendidikan di Malaysia antaranya membincangkan mengenai kerangka kurikulum persekolahan 2027.

“Siri libat urus ini bagi menjawab persoalan, kebimbangan dan juga keprihatinan masyarakat tentang apa sepatutnya diajar dan fokus dalam pendidikan kita. 

“Kurikulum ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027, tetapi prasekolah akan bermula lebih awal pada 2026,” kata beliau. – 2 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen