AKTIVIS Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baharu hari ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berkaitan projek kasino di Forest City pada 26 April lalu.
Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasidah Roslee.
Dia didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan di akaun Facebook miliknya di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud, Abdul Ghafar Ab Latif, Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar manakala Badrul Hisham diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim sebagai pemerhati.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menolak perintah larangan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula.
Semalam, Badrul Hisham didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghasut dan mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah yang akan mencemarkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
Dia mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali. – 30 April, 2024.
Komen