AKTIVIS Bersatu Badrul Hisham Shaharin meminta dibicarakan atas dua pertuduhan memfitnah jenayah dan menghasut di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali yang membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard diwakili oleh Rafique Rashid Ali.
Badrul Hisham menghadapi pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan hasutan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Rafique Rashid dilaporkan berkata kenyataan berbaur fitnah itu didakwa dibuat oleh pemilik akaun Facebook di bawah kendalian Chegubard menggunakan nama Agong, Sultan Ibrahim Sultan Islandar, dan pertuduhan hasutan berkaitan isu membabitkan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd mengadap Sultan Ibrahim.
Dia ditahan pada Sabtu untuk membantu siasatan terhadap siaran media sosial yang dibuatnya berhubung dakwaan rundingan mengenai pembukaan kasino di Forest City, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.
Dia ditahan di kawasan Rehat dan Rekreasi Tapah di Perak kira-kira jam 7 malam sebelum dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis menafikan laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan lesen kasino untuk memulihkan Forest City di Johor. Anwar menyifatkan dakwaan yang dibuat dalam laporan itu sebagai ‘pembohongan’.
Berjaya Corporation Bhd (BCorp) dan Genting Malaysia Bhd juga telah menafikan dakwaan yang dibuat dalam laporan itu.
Menghentikan kritikan
Sementara itu, Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata tiadsa keperluan untuk menangkap dan menahan reman Badrul Hisham kerana mengulangi atau mengulas sesuatu yang dilaporkan oleh rangkaian berita global terkemuka.
“Posting menyinggung yang menyebabkan dia ditahan hanyalah komennya mengenai laporan berita Bloomberg bahawa Anwar sedang berbincang untuk membuka kasino di Forest City.
“Artikel berita Bloomberg turut dilampirkan dalam catatan yang sama. Jadi di manakah jenayah dalam hal ini? Hanya dalam pemerintahan diktator orang ditangkap kerana perkara seperti ini,” kata Zaid dalam satu kenyataan.
Katanya, pihak berkuasa dilihat menyasarkan Badrul Hisham kerana mengulas berita itu.
“Adalah jelas bahawa kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menutup sebarang kritikan atau persoalan berhubung tindakan kerajaan.
“Ini adalah tindakan paling jelas menunjukkan hasrat utama kerajaan adalah untuk menghentikan sebarang wacana awam yang merosakkan imej kerajaan di mata pengundi dengan menyalahgunakan proses siasatan jenayah dan menyalahgunakan sumber polis.
“Tugas polis adalah untuk menjaga keselamatan awam, dan bukan untuk menjaga imej kerajaan,” tambahnya. – 29 April, 2024.
Komen