Penulisan Murray Hunter berunsur fitnah, kata SKMM


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menolak sekeras-kerasnya semua tuduhan tidak berasas dibuat oleh seorang penulis blog Murray Hunter yang menuduh agensi itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi yang dipengaruhi politik oleh pentadbiran kerajaan semasa, lapor Bernama.

SKMM mengumumkan dalam satu kenyataan memaklumkan penulisan Hunter adalah fitnah kerana dia secara terbuka menuduh suruhanjaya itu bertindak di luar bidang kuasanya untuk kepentingan peribadi dan mendakwa suruhanjaya itu dan polis cuba menakutkan orang ramai.

“Sebagai sebuah badan berkanun, SKMM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya.

“Segala Tindakan penguatkuasaan yang diambil SKMM mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa SKMM sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu mengingatkan bahawa menyebarkan kandungan tidak benar termasuk dengan niat untuk mengganggu pihak lain adalah jenayah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan memuat naik kandungan berunsur fitnah mengenai SKMM juga merupakan satu jenayah.

“Sekiranya Murray Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap SKMM, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi,” kata SKMM.

SKMM telah membuat laporan polis terhadap Hunter untuk tindakan selanjutnya. – 30 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen