SKMM panggil pengendali akaun media sosial perjelas video KSN


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil pengendali akaun media sosial portal berita MyNewsHub berhubung klip video lama, yang menimbulkan kekeliruan di media sosial.

Dalam satu kenyataan, SKMM melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran video berdurasi satu minit 10 saat bertajuk “Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!”, yang dilihat bertujuan memberi gambarakan negatif terhadap penjawat awam. 

“Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), video itu menggambarkan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan bertindak balas kepada senario serangan provokatif,” kata kenyataan itu.

SKMM berkata kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Ia membawa hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ia juga memberi amaran agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan dalam talian untuk menyebarkan kandungan palsu.

Dalam satu kenyataan, JPA menjelaskan semalam yang video itu adalah “senario simulasi” bertujuan untuk menguji kesiapsiagaan anggota keselamatan dalam menghadapi situasi serangan provokatif.

 “JPA memandang serius sebarang usaha menjejaskan perkhidmatan awam, kerana ia menggambarkan kerajaan cuai terhadap kebimbangan dan kesejahteraan penjawat awam,” katanya. – 13 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen