Vincent Tan tidak terlibat rundingan kasino, kata Berjaya Corp


Berjaya Corp menafikan pengasasnya Vincent Tan terlibat dalam rundingan membuka kasino di Forest City, Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2024.

BERJAYA Corp Bhd (Berjaya Corp) hari ini menafikan laporan berita yang pengasasnya Vincent Tan terlibat dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pembukaan kasino di Forest City, Johor.

BCorp berkata laporan dari The Edge Singapore dan Bloomberg semalam memasukkan “maklumat tidak tepat yang memberi gambaran salah penglibatannya dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung projek itu.

“Kami ingin menjelaskan yang Vincent Tan tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan sedemikian dan menyangkal dakwaan tidak tepat dinyatakan dalam artikel itu,” kata Berjaya Corp dalam satu kenyataan.

Syarikat itu juga menggesa kedua-dua penerbitan membuat penjelasan dan mengeluarkan sebarang kandungan mengelirukan daripada artikel yang menjadi persoalan di semua semua platform.

Ia juga menggesa pemberhentian penyebaran maklumat tidak tepat itu.

“Kami percaya pihak yang bertanggungjawab akan memahami kebimbangan kami dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Berjaya Corp dalam kenyataannya.

Laporan Bloomberg mendakwa Malaysia sedang dalam perbincangan awal dengan taikun itu mengenai pembukaan kasino di Forest City, dalam usaha memulihkan projek hartanah bernilai RM478.35 bilion itu.

Memetik sumber, ia berkata Anwar bertemu dengan Tan dan Lim Kok Thay dari Genting Group pada minggu lepas di pembangunan di Johor.

Semalam, Anwar menafikan laporan kerajaan sedang mempertimbangkan lesen kasino untuk memulihkan Forest City.

Beliau berkata berita mengenai lesen kasino itu adalah “pembohongan” dan “tidak betul”. – 26 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen